10 jam main game akhirnya mati depan komputer


Georgetown: Ketagihan bermain permainan komputer selama hampir 10 jam mengundang padah buat seorang pemuda apabila dia maut dipercayai akibat serangan jantung dalam sebuah bilik di rumahnya di Bandar Baru Air Itam, di sini, kelmarin.

Kejadian itu hanya disedari bapa saudara mangsa pada jam 4 petang yang berasa pelik berikutan mangsa tidak menyahut panggilan ahli keluarganya.


Sejurus pintu dibuka, bapa saudaranya terkejut melihat tubuh Ong Yee Haw, 23, kaku di depan komputer dalam biliknya.

Difahamkan, sebelum itu, mangsa menghabiskan masa di sebuah kafe siber berhampiran rumahnya dan pulang ke rumah jam 1 pagi sebelum menyambung permainan komputer dalam biliknya.


Ibu mangsa, Chew Qun Juan, 62, berkata, anaknya mula ketagih bermain permainan komputer sejak lima bulan lalu selepas terbabit kemalangan.


“Selepas mengalami kemalangan yang membuatkan tangannya cedera, anak saya berhenti kerja sebagai pembantu di sebuah restoran.

“Sejak itu, dia mula berkurung dan banyak menghabiskan masa bermain permainan komputer di rumah,” katanya yang ditemui di rumah mayat di Hospital Pulau Pinang (HPP), semalam.


Menurutnya, walaupun sudah dinasihati, anaknya masih berdegil dan banyak menghabiskan masa bermain permainan komputer sehingga tidak mahu melakukan pekerjaan lain.

“Jika tidak bermain di rumah, anak saya menghabiskan masa bermain di kafe siber. Sebagai ibu, saya risau melihat keadaannya yang ketagih dengan permainan komputer itu,” katanya.

Sumber: Harian Metro


2 comments:

  1. Make that the 5th victim so far I have heard in the news. I am a gamer girl too, playing like 4-6 hours a day straight hours in my spare time. But I don't lock up my room, I usually play wtih some friends.

    ReplyDelete