ANGGOTA trafik membuat sekatan jalan raya Op Warta di Jalan Teluk Likas, Kota Kinabalu.
Kota Kinabalu: Panik melihat sekatan jalan raya, seorang pemandu bas henti-henti dan konduktornya bertindak meninggalkan penumpang bersama kenderaan mereka dan melarikan diri sebelum disedari anggota polis yang sedang melakukan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya lain.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi di Teluk Likas, di sini, sepasukan anggota polis terpaksa mengejar kedua-dua mereka sejauh hampir 500 meter dan berjaya dicekup.
Perlakuan mereka akhirnya terjawab apabila pemeriksaan lanjut mendapati pemandu bas berkenaan mempunyai satu waran tangkap manakala konduktornya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
Kedua-duanya yang berusia 30-an dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Kota Kinabalu Deputi Superintendan Peter Umbuas berkata, pihaknya sedang melakukan Op Warta apabila menyedari dua lelaki cuba meloloskan diri dengan meninggalkan kenderaan mereka di tepi jalan.
“Menyedari situasi ini, sepasukan anggota polis kemudian mengejar suspek dan berjaya dicekup kira-kira 500 meter dari lokasi sekatan jalan raya dilakukan.
“Pemeriksaan mendapati pemandu bas mempunyai satu waran tangkap manakala konduktornya adalah pendatang asing tanpa izin,” katanya ketika ditemui, semalam.
Peter berkata, polis kini sedang memburu pesalah trafik yang memiliki waran tangkap tetapi pada masa sama turut melakukan pemeriksaan membabitkan kesalahan jalan raya lain.
“Sebanyak 18,000 waran tangkap dikeluarkan IPD Kota Kinabalu sejak 1994 sehingga pertengahan November lalu,” katanya.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment