Showing posts with label info. Show all posts
Showing posts with label info. Show all posts

Februari 2016 Paling Panas Sejak 1880

 
MIAMI: Rekod Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Nasional (NOAA) menunjukkan Februari 2016 adalah bulan paling panas di seantero dunia sejak 1880 an.

Cara Tanggalkan '"Road Tax" Kereta Tanpa Tinggal Kesan Gam Di Cermin


 Bagi pemilik kereta, van dan lori, sudah pasti dan masak dengan masalah untuk menampal pelekat cukai jalan di cermin kenderaan anda kerana pelekat itu bukan untuk dibuka dan tampal untuk berulang-ulang kali.

Cip pada bateri Samsung curi data?

 Dakwaan cip di belakang bateri Samsung mencuri maklumat pengguna, tidak benar.

SATU rakaman video berdurasi selama 2:18 minit memaparkan mengenai bahaya dan risiko menggunakan telefon pintar jenis Samsung yang didakwa mampu menyimpan serta mencuri data pengguna menjadi viral di media sosial sehingga menimbulkan kegusaran sesetengah pihak.

Melalui rakaman berkenaan, pemilik video mendakwa, terdapat cip pengintip yang dipasang di belakang bateri telefon tersebut untuk mengintip apa yang dilakukan penggunanya termasuk mengesan data, video dan apa saja yang dimuat turun pengguna dari dalam telefon tersebut.


FAKTA

Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Khirul Nizam Abd Rahman memaklumkan bahawa tayangan klip video berkenaan adalah berkemungkinan tidak benar memandangkan cip tersebut dikenali sebagai antenna Near Field Communication (NFC).

Menurut beliau, NFC berfungsi bagi membolehkan pengguna bertukar data atau maklumat dengan peralatan lain yang turut mempunyai teknologi berkenaan seperti telefon pintar dan sebagainya.

Selain itu, Khirul memaklumkan bahawa NFC juga berfungsi sama seperti teknologi Bluetooth di mana pengguna perlu mendekatkan telefon pintar bagi membolehkan berlakunya pertukaran data serta ianya memerlukan kebenaran daripada pengguna terlebih dahulu.

Tambahnya, masyarakat tidak perlu gusar memandangkan kecurian data dengan menggunakan NFC adalah mustahil sama sekali, namun mereka perlu berjaga-jaga kerana pada masa kini, terdapat pelbagai aplikasi yang ditawarkan kepada orang ramai bagi tujuan untuk mencuri maklumat pengguna lain.


Sumber: Sinar Harian

Realitinya #03

 Hujan paling lebat pernah direkodkan dalam setahun ialah 25.4 meter (1000 inci) di Cherrapunji, India.

 Otak menggunakan lebih daripada suku oksigen yang digunakan oleh badan manusia.

 Dinosaur pertama yang diberi nama secara rasmi ialah Megalosaurus pada tahun 1824.

 Kucing apabila ia berjalan tapak kaki belakangnya hampir memijak tepat pada bekas tapak kaki hadapan.

 Ketulan hujan batu paling berat pernah direkodkan ialah 1.0 kg (2.25 Ib) dan jatuh di Daerah Gopalganj, Bangladesh pada 14 April !986.

 Matahari adalah 300,000 kali lebih besar dari bumi.

Gurun yang terbesar di dunia ialah Sahara. Ia meliputi kira-kira satu per tiga benua Afrika. 

Dakwaan bumi akan bergelap 15 hari tak benar

 Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Agensi Angkasa Negara (Angkasa) hari ini menafikan dakwaan kononnya Bumi akan bergelap selama 15 hari bermula 15 November ini, seperti yang tersebar di laman sosial dan aplikasi WhatsApp.

Dalam satu kenyataan, Angkasa berkata, perbezaan jarak antara planet Musytari dan Zuhrah tidak memungkinkan sebarang proses seperti yang digembar-gemburkan akan berlaku dan tiada sebab untuk Bumi bergelap pada ketika itu.
  
Semakan daripada laman sesawang Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa) mendapati peristiwa planet Musytari kelihatan berada terlalu hampir dengan planet Zuhrah di langit atau juga dikenali sebagai fenomena Ijtimak atau 'Conjunction' adalah normal.
  
"Fenomena Ijtimak telah berlaku pada 30 Jun lepas dan akan berlaku sekali lagi pada 26 Oktober ini. Ketika fenomena ini berlaku pada 30 Jun lalu, planet Zuhrah pada ketika itu berada pada jarak 77 juta km dari Bumi manakala planet Musytari pula pada jarak 909 juta km dari Bumi," menurut kenyataan itu.
  
Satu artikel palsu kononnya pihak Nasa mengesahkan Bumi akan bergelap mulai 15 hingga 30 November ini akibat planet Musytari dan Zuhrah akan kelihatan sangat hampir atau hampir selari, hanya terpisah sejauh sudut satu darjah sahaja di langit, telah tersebar luas.

Artikel palsu itu juga mendakwa Ketua Pentadbiran Nasa, Charles Bolden memberi penjelasan dalam dokumen sepanjang 1,000 muka surat kepada White House mengenai kejadian yang hanya berlaku sekali dalam satu juta tahun ini yang juga dikenali sebagai "November Black Out". - Bernama

Sinar Harian

Cara Mudah Memastikan Kereta Anda Sentiasa Berbau Wangi Seperti Baru Keluar dari Showroom

Beginilah cara saya memastikan kereta sentiasa berbau wangi seperti baru keluar dari showroom secara semulajadi sahaja.

Kebanyakan kita sangat mementingkan penjagaan kereta baik dari luar mahupun dari dalam termasuklah bau dalam kereta lebih-lebih lagi sekiranya pemilik kereta adalah seorang lelaki.

Bagi penjagaan bau dalam kereta sememangnya sudah banyak produk-produk pewangi khusus untuk kereta. Namun pewangi-pewangi kereta tersebut bukanlah akan menghasilkan bau asal sesebuah kereta.

Di sini terdapat satu cara yang menarik dikongsikan oleh pengguna instagram, Ahmad Aizatnur Zakaria bagi mengekalkan bau asal, semulajadi sebuah kereta.

Berikut adalah cara-cara yang ditunjukkan olehnya.


1. Sediakan 1 bekas plastik. Saya pakai bekas beli "tau fu fa". 

2. Ambil 1 getah gelang. Saya ambil di dapur. Ada banyak.

3. Ambil sehelai kertas tisu di ruang tamu.


4. Satu sudu besar kopi Nescafe.


Siapkan seperti dalam gambar diatas lalu simpan di bawa kerusi kereta Anda. Sifat kopi menghilangkan bau. Boleh juga diganti dengan hirisan daun pandan.

Insyaallah, kita terhindar dari pemakaian pewangi sintetik kimiawi yg dapat merosak paru-paru dan jimat ratusan ringgit pertahun utk membeli pewangi kereta.

Oleh kerana bahan-bahannya adaah senang didapati dan murah maka ia boleh dibuat oleh sesiapa sahaja. Selamat mencuba dan rasai aroma kereta anda seperti baru dibeli.


Kredit: Siakapkeli.my

Maksud sebenar basuh kaki sebelum tidur

Baru aku tahu....basuh kaki sebelum tidur maksudnya berwuduk.....
 

Sumber: Facebook

7 Sebab Atau Alasan Yang Boleh Digunakan Wanita Untuk Selalu Makan Coklat


Coklat merupakan antara salah satu makanan paling digemari di seluruh dunia di mana ia mempunyai penggemarnya tersendiri terutama bagi golongan wanita.

Makanan ini juga dikatakan melambangkan rasa kasih sayang di mana ramai lelaki akan membelikan coklat kepada wanita kesayangannya.

Selain itu, tahukah anda bahawa coklat mempunyai khasiat yang amat baik untuk wanita? berikut adalah tujuh khasiat coklat terhadap kesihatan wanita.


1. Dapat Mencegah komplikasi semasa hamil

Terdapat satu kajian menunjukkan bahawa memakan coklat semasa sedang hamil boleh mencegah atau mengurangkan sehingga 70% risiko komplikasi tekanan darah tinggi yang dipanggil pra-eklampsia. Coklat mengandungi sebatian "theobromine" yang berfungsi mencegah komplikasi semasa mengandung.


2. Meningkatkan konsentrasi atau tumpuan

Memakan coklat akan melancarkan pengaliran darah ke otak diaman ia akan memberi oksigen yang cukup kepada otak menyebabkan tahap tumpuan meningkat. Ini terutamanya dengan 50% daripada glukosa dalam tubuh, digunakan oleh otak.


3. Mencegah penyakit jantung

Dengan pengambilan coklat ia akan menurunkan kegiatan enzim dalam badan yang menyebabkan tekanan darah tinggi. Oleh itu, makan coklat yang tidak ditambah gula boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.


4. Menurunkan paras kolesterol dalam darah

Coklat boleh mengurangkan risiko anda untuk diserang sakit jantung dan otak. Ini kerana pengambilan akan menyebabkan paras kolesterol dalam pembuluh darah berkurang. Kolesterol boleh menyebabkan pembuluh darah ke jantung dan otak tersumbat.


5. Mengurangkan kerutan kulit/awet muda

Berdasarkan kajian coklat mengandungi antioksidan yang dapat mengurangkan kerutan pada kulit wajah. Selain itu coklat mengandungi kuantiti flavanol yang tinggi di mana falvanol dapat menghalang berlakunya kerutan kulit akibat terdedah pada sinar matahari.


6. Melegakan sakit semasa datang haid/senggugut

Makan coklat boleh membantu wanita megurangkan atau tidak rasa sakit semasa datang haid akibat senggugut. Ini kerana coklat mengandungi kafein yang merupakan penghilang rasa sakit.


7. Boleh dijadikan lulur

Selain dimakan coklat boleh dijadikan masker muka dan lulur. Lemak coklat atau cocoa butter yang terkandung di dalam coklat berkhasiat untuk melembutkan kulit, menghaluskan kulit dan memutihkan/mencerahkan kulit yang kusam.

Jadi jelas sekali coklat memberi manfaat yang banyak kepada wanita. Jadi gunalah alasan ini untuk meminta suami selalu membelikan coklat kegemaran anda.


Kredit: siakapkeli.my

Ini fungsi sebenar lebihan lubang tali di kasut sukan


Kasut adalah satu alat yang penting ketika bersukan. Pemilihan kasut berdasarkan kepada kesesuaian pemain serta tahap kekuatan mengikat tali kasut juga sangat penting bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pemain sukan ketika beraksi.

Akan tetapi, pernahkah anda tertanya-tanya kenapa kasut sukan anda mempunyai lubang tali kasut lebihan pada bahagian paling atas? Siakapkeli rasa anda tidak tahu.

Sebuah video di laman Youtube menunjukkan kepada penonton apakah kegunaan lubang tali kasut yang berlebihan itu.

Ia bukan semata-mata untuk memastikan kasut itu melekat di kaki, malah ia juga mampu mengelakkan kaki anda dari tercedera.

Jom saksikan video di bawah cara-cara menggunakan lubang kasut yang dikatakan itu.



Kredit: siakapkeli.my

Spesifikasi kerja seorang perisik

 Gambar hiasan. Roger Moore

Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah kriteria dan ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi seorang perisik atau spy?

Januari lalu, agensi perisikkan MI5 (Military Intelligence, Section 5) yang beroperasi di United Kingdom telah mengeluarkan spesifikasi kerja untuk menjadi salah seorang dari spy mereka.

MI5 mencari individu untuk mengisi jawatan ‘mobile surveillance officers’. Antara skop kerja jawatan tersebut termasuklah melindungi masyarakat daripada ancaman terhadap keselamatan negara tidak kira sama ada keganasan mahupun pengintipan.


Memetik laporan Metro, gaji yang ditawarkan adalah £31,000 (RM168,000) setahun yakni hampir RM14,000 sebulan!

Mobile surveillance officers ini akan mengikuti para subjek yang telah dikenal pasti oleh pegawai-pegawai perisikan sebagai ancaman kepada keselamatan negara.


Tugasan mereka adalah memerhati orang dan tempat secara menyeluruh sama ada dengan berjalan kaki atau menaiki kenderaan. Bergaul dan berasimilasi dengan persekitaran adalah salah satu syarat penting kerja.

Pada masa yang sama, ada beberapa ciri penting yang melayakkan seorang pemohon digugurkan serta merta. Antaranya adalah tatu di muka, leher atau lengan yang akan mengasingkan mereka dari orang ramai.


Bagaimana pula dengan tubuh badan? Para lelaki yang mahu menjadi perisik tidak boleh melepasi ketinggian 186cm manakala perempuan pula haruslah mempunyai ketinggian tidak lebih 176cm. Ini adalah kerana mahu mengelakkan perisik terlalu menonjol di khalayak.

Seorang pengintip akan banyak menghabiskan masa memandu jadi pandai membaca peta serta kompas adalah satu kemestian.


Ternyata pemohon perlu berada dalam keadaan fizikal yang agak baik juga jika perlunya mengikuti seseorang dengan berjalan kaki.

Anda berminat? Memenuhi kriteria? Malangnya permohonan sudah ditutup pada 16 Februari lalu. Jangan risau, ada lagi lain kali.


Sumber: mylaunchpad.com.my

Asal-usul Pizza Hut


 Restoran pertama Pizza Hut dibuka pada Jun 1958 oleh dua saudara iaitu Frank Carney dan Dan Carney di Wichita, Amerika Syarikat.

Kedua bersaudara itu memperolehi idea untuk membuka restoran pizza selepas mereka membaca artikel di surat khabar Saturday Evening Post mengenai perniagaan pizza yang sedang berkembang.

Lalu mereka mengambil keputusan dengan meminjam wang ibu mereka sebanyak 600 Dollar Amerika ketika itu untuk membeli peralatan membuat pizza dan mengubah bar menjadi restoran pizza.

Apabila adik-beradik Carney membuka restoran pizza pertama mereka, bangunan tersebut mempunyai ruang tanda hanya untuk sembilan abjad sahaja.

 Frank & Dan Carney

Jadi mereka memilih untuk menggunakan perkataan pizza bagi nama restoran tersebut dan ahli keluarganya mencadangkan bangunan yang kelihatan seperti pondok (hut). Maka terhasillah Pizza Hut.

Malam pertama mereka memulakan perniagaan, adik-beradik Carney telah memberi pizza buatan mereka kepada pelanggan yang berpotensi dan berminat dengan Pizza Hut.

Menu utama di restoran Pizza Hut adalah Pan Pizza yang didatangkan dengan tiga saiz pizza berbeza bermula dari Pan Pizza peribadi bersaiz kecil, sederhana dan besar.

Di Malaysia QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd (QSR Brands) merupakan operator kepada Pizza Hut yang mempunyai lebih 350 cawangan restoran di seluruh negara.



Sumber: Sinar Harian

Benarkah minuman berkultur penyebab kanser?

Mesej yang tersebar di Facebook

Minuman berkultur bukan penyebab kanser

AUTA

Satu mesej tersebar di media sosial mengenai seorang ibu yang kematian anak akibat kanser, dikatakan berpunca daripada minuman berkultur.

Menurut mesej itu, doktor pakar yang merawat kanak-kanak tersebut memaklumkan bakteria hidup yang berada di dalam minuman berkultur itu mengaktifkan sel kanser.

Doktor pakar tersebut juga dikatakan memberitahu sampel air sum-sum dari tulang belakang kanak-kanak itu mempunyai banyak bakteria daripada minuman yogurt tersebut.

"Doktor yang beritahu (perkara itu) siap merayu supaya kami jangan bagi anak-anak minum (minuman berkultur)," menurut mesej itu.


FAKTA

Dakwaan minuman berkultur boleh menyebabkan sel kanser menjadi aktif yang viral di laman sosial kini tidak disertakan dengan bukti dan mempunyai beberapa kemusykilan kerana kuman probiotik digunakan dalam minuman tersebut disahkan selamat bagi individu sihat, termasuk wanita yang hamil dan menyusukan anak.

Pakar perubatan, Dr Zubaidi Ahmad berkata, minuman itu selamat dan dikatakan dapat merawat beberapa penyakit secara semula jadi dan tanpa ubat jika diambil oleh individu sihat.

"Namun minuman seperti ini tidak sesuai bagi individu yang mempunyai sistem daya tahan yang lemah kerana kuman probiotik adalah kuman bakteria yang hidup, dikhuatiri akan berkembang dengan cepat pada individu yang mempunyai sistem daya tahan yang lemah.

"Ini termasuk pesakit HIV/Aids, orang yang baru menerima derma organ dan mengambil ubat-ubatan untuk mencegah penolakan organ yang dipindahkan, pesakit diabetes, kanser dan yang sedang menerima rawatan untuk kanser, pesakit ginjal dan menjalani rawatan dialisis, pesakit autoimun seperti SLE, pesakit yang mendapat rawatan steroid dan pesakit yang telah menjalani pembedahan usus," katanya yang dipetik menerusi blognya drzubaidi.com.

Katanya, pemilihan kuman probiotik mestilah memenuhi syarat termasuk terbukti selamat untuk kegunaan manusia, dapat hidup dan membiak dalam usus dan mampu hidup walaupun terdapat asid perut dan hempedu.

"(Selain itu, kuman probiotik) perlu terbukti secara saintifik mempunyai kesan baik, boleh didapati dalam jumlah yang mencukupi untuk memberi kesan pada kesihatan tubuh dan bakteria probiotik tidak tinggal dalam usus dan akan dikeluarkan ketika buang air besar," katanya



Sumber: Sinar Harian

Spesies badak ini hanya tinggal seekor sahaja di dunia


Di Kenya terdapat spesies badak yang jumlahnya tinggal seekor sahaja di dunia. Badak jantan bernama Sudan ini dari spesies Badak Putih Utara (Northern White Rhino) kini ditempatkan di pusat konservasi Pejeta di Kenya. Badak ini berada di ambang kepupusan kerana culanya yang bernilai tinggi di pasaran gelap.

Cula badak ini dijadikan ubat tradisional yang sangat mujarab. Hanya di pasar gelap ia boleh diperolehi. Cula badak biasa boleh dijual sehingga USD 75 ribu/kg apa lagi dari jenis seperti Sudan ini.


Pemburu haram dengan berbagai senjata lengkap dan kekuatannya bersiap untuk mengambil haiwan ini namun Sudan mendapat kawalan dari para penjaga haiwan dilindungi.

Pihak konservasi memonitor selama 24 jam di sekitar hampir 400,000 m2 wilayah taman negara. Selain itu, sejumlah pasukan penjaga haiwan lengkap dengan senjata api dikerahkan untuk mengawal haiwan ini setiap hari secara bergiliran.

Malaysia tidak lari dari garisan khatulistiwa


SHAH ALAM - Cakap-cakap yang mengatakan bahawa cuaca panas ekstrem sekarang berpunca daripada ‘larinya’ Malaysia daripada garisan khatulistiwa adalah tidak benar.

Pegawai Jabatan Meteorologi, Ambun Dindang menjelaskan bahawa kedudukan Malaysia pada garisan khatulistiwa adalah tidak pernah berubah.

“Tidak pernah berubah, ia hanya atas sedikit ke utara garisan khatulistiwa,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menafikan bahawa negara mengalami cuaca panas yang ekstrem, sebaliknya beliau menjelaskan bahawa cuaca panas yang kita alami sekarang adalah sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Cuaca panas yang kita alami adalah ‘panas biasa’, ia normal di mana negara akan mengalami cuaca panas sepanjang Februari hingga Mac terutama di bahagian Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu,  Ambun menasihati orang ramai agar minum banyak air kosong, serta mengurangkan aktiviti luar bagi ‘menjaga’ keselamatan.

“Saya sarankan kalau hendak buat aktiviti luar buatlah di waktu pagi dan lewat petang,” jelasnya. - Sinar Harian

Berdasarkan kajian, 4 dari 5 wanita Inggeris tidak mandi pagi


LONDON – Jika anda mempunyai rakan wanita berbangsa Inggeris atau lama menetap di England, kajian terbaharu sebuah agensi bebas tempatan, Flint + Flint pasti membuatkan anda serba salah untuk berada dekat dengan mereka selepas ini.

Hasil kajian itu yang melibatkan lebih 2,000 responden berusia dari 18 sehingga 50 tahun mendedahkan, wanita Inggeris umumnya memang tidak terlalu mempedulikan aspek kebersihan dan keharuman tubuh badan diri mereka sendiri.

Firma itu malah mendapati, empat daripada lima wanita Inggeris mengaku tidak mandi setiap hari manakala 33 peratus mengatakan mereka pernah tidak mandi selama tiga hari dan 67 peratus tidak membersihkan solekan wajah sebelum tidur.

Alasan mereka kerana berasa terlalu penat setelah sibuk dengan aktiviti seharian dan lebih teruk, satu daripada lapan wanita tidak menggosok gigi sebelum tidur selain 21 peratus responden mandi waktu pagi dengan cepat pada setiap hari.

Anehnya walaupun tidak mandi, 57 peratus wanita Inggeris mengaku memilih cara untuk membersihkan diri dengan hanya mengelap tubuh menggunakan tisu basah biarpun tahu cara tersebut pastinya sangat tidak bersih dari segi kesihatan.

Ironi, 92 peratus responden wanita mengaku sedar mengenai kepentingan dan manfaat memiliki kulit bersih terawatt, bahkan 76 peratus responden faham bahawa kurang tidur dan dehidrasi memberikan pengaruh buruk pada kecantikan kulit.

Mujur kajian itu mendapati 89 peratus wanita berjanji akan lebih menjaga kebersihan diri pada waktu akan datang dan firma Flint + Flint mendedahkan, kesibukan tugas menyebabkan ramai wanita tidak mandi sebelum pergi bekerja.

“Kami mendapati, ramai responden tidak sedar melewatkan mandi pagi, dapat membuat diri mereka jadi antisosial dan sangat tidak sihat. Mereka amat sibuk sehingga terpaksa tidak mandi sebagai cara hidup,” kata pemilik Flint + Flint, Maxine Flint.

Firma penyelidik yang turut terlibat dalam penjagaan kesihatan kulit di Britain itu mendakwa, jika trend tidak mandi berterusan, wajah wanita Inggeris akan kelihatan lebih tua daripada usia sebenar akibat tubuh kering air dalam badan. – Agensi

Awas 'Malware' Pada Telefon Pintar

 Gambar hiasan

PETALING JAYA: 'Malware' (virus) baharu yang menjangkiti dan mengunci data komputer sehingga wang tebusan yang dibayar boleh menjangkiti telefon pintar dengan mudah, CyberSecurity Malaysia memberi amaran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, pengguna telefon pintar harus berwaspada terhadap malware jenis 'Ransomware' itu.

"Pada bulan Januari sahaja, sebanyak empat kes Ransomware pada komputer telah dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999 kami," katanya.

Dr Amirudin berkata insiden itu membabitkan dua syarikat dan dua pengguna individu.

Sebagai perbandingan, terdapat tiga kes pada tahun lepas, dan hanya dua kes pada 2013.

"Sehingga kini, CyberSecurity Malaysia tidak menerima sebarang laporan kes telefon pintar yang dijangkiti Ransomware tetapi mencegah lebih baik daripada mengubati," katanya dalam satu temu bual.

Beliau berkata antara cara yang boleh menyebabkan komputer dan telefon bimbit dijangkiti 'malware' tersebut adalah melalui lampiran e-mel yang mengandungi 'malware' di mana ia akan dimuatnaik dengan sendirinya.

Satu mesej pop-up pada skrin akan menyatakan bahawa komputer telah dikunci dan semua fail disulitkan, selain bayaran 'penalti' sebanyak AS$100 (RM363) dikenakan kerana  melawat 'laman web secara tidak sah'.

Berikutan kejadian tersebut, CyberSecurity mengeluarkan nasihat kepada semua pengguna internet, termasuk pertubuhan-pertubuhan, berhubung ancaman yang mungkin dihadapi.

Dr Amirudin berkata mangsa tidak perlu mengikut arahan pembayaran sebaliknya menghubungi Cyber999 untuk bantuan.

"Selain daripada membantu mangsa, laporan itu juga akan memberikan maklumat penting yang akan membolehkan kita untuk lebih menangani atau mengurangkan masalah ini," katanya.

Beliau berkata, pengguna internet perlu mempunyai perisian anti-virus yang terkini dan tidak meng'klik' pada pautan web yang tidak diminta di dalam e-mel.

Dr Amirudin turut menasihati pengguna untuk sering membuat 'fail sokongan' untuk maklumat penting bagi menghadkan kesan kehilangan data atau sistem dan untuk membantu mempercepatkan proses carian.

Soalan atau laporan boleh dihantar kepada cyber999@cybersecurity.my atau mycert@mycert.org.my atau telefon 1-300-88-2999 (waktu perniagaan) atau +6019 2665850.



Sumber: mstar.com.my

Hidangan terakhir banduan sebelum hukuman mati

Berikut ini adalah makanan terakhir yang dimakan beberapa tahanan sebelum akhirnya mereka dihukum mati. Seorang jurugambar bernama Heny Hargreaves "mencipta semula" makanan yang diminta para tahanan sebagai hidangan terakhirnya.

Foto-foto ini diambil dari laman jurugambar tersebut, di Henryhargreaves.com


1. Teresa Lewis, Minta Ayam Goreng dan Kacang Peas
 Teresa Lewis adalah seorang penjenayah berumur 41 tahun. Dia dihukum kerana terlibat kes pembunuhan dan rompakan. Akhirnya, Teresa dijatuhi hukuman mati dengan suntikan beracun. Sebelum hukuman, Terese meminta hidangan terakhir berupa ayam goreng, kacang peas dengan mentega di atasnya, pie epal dan minuman soda.


2. Angel Nieves Diaz, Tidak Mahu makan Apapun
 Ketika hukuman matinya mendekatinya, Angel ditawarkan pihak penjara agar menempah makanan apa saja yang dia inginkan. Namun, Angel menolak. Dia diberi makanan penjara yang seperti biasa dihidangkan. Namun makanan itu juga tidak disentuhnya. Angel, berumur 55 tahun dan berasal dari Florida. Dia dihukum mati kerana terlibat kes pembunuhan, penculikan dan rompakan bersenjata. Dia akhirnya mati dengan suntikan lethal.


3. Ronnie Lee Gardner, Makan Sambil Menonton Lord of The Ring
 Lelaki berumur 49 tahun yang berasal dari Utah ini dihukum kerana merompak dan dua pembunuhan yang dia lakukan. Sebelum dia meninggal, Ronnie meminta menu istimewa di menjelang hari kematiannya. Dia meminta ekor udang galah, steak, pie epal, ais krim vanila dan memakan semua hidangan itu sambil menonton trilogi Lord of The Ring. Ronnie Lee Gardner dihukum tembak sampai mati.


4. Victor Feguer, Hanya Minta Sebiji Buah Zaitun
 Lelaki ini dihukum mati di usia yang sangat muda, 28 tahun. Lelaki asal Iowa ini dihukum mati atas tindakan penculikan dan pembunuhan. Dia meninggal dengan suntikan maut ke dalam tubuhnya. Hidangan terakhir yang diminta Victor sangatlah mudah. Dia meminta sebiji buah zaitun. Victor mengatakan bahawa dia ingin buah zaitun tersebut akan mengakar dan tumbuh dari dalam tubuhnya dan menjadi pohon zaitun. Dia berharap pokok tersebut akan menjadi simbol keamanan.


5. Rikcy Ray Rector, Tinggalkan Pie untuk dimakan "nanti"
Lelaki berumur 42 tahun ini dihukum kerana tindakannya membunuh dua orang. Lelaki asal Arkansas ini akhirnya mati dengan suntikan lethal. Sebelum dia meninggal dia meminta hidangan yang cukup istimewa. Dia meminta steak, ayam goreng, minuman rasa cherry dan pie. Pie itu tidak disentuhnya. Ketika penjaga menanyakan soal pai itu, Ricky mengatakan bahawa dia akan memakan pienya nanti. Dia tidak menyentuh pie itu hingga hari kematiannya.

Kenapa hukuman mati tidak disiarkan di akhbar? Ini sebabnya

Ini foto hukuman mati paling dramatis sepanjang sejarah

Anda ingin tahu mengapa foto pelaksanaan hukuman mati sukar dilihat di media massa? Foto berikut inilah penyebabnya.
 
 Foto hukuman mati Ruth Snyder. ©1928 Tom Howard/New York Daily News/Getty Images

Dari seluruh arkib hukuman mati, foto-foto yang beredar kebanyakan berupa ilustrasi atau situasi penjara sebelum dan sesudah pelaksanaan. Tapi di Amerika Syarikat, seorang jurugambar berjaya mengabadikan saat-saat terakhir seorang pesalah wanita meregang nyawa di kerusi elektrik.

Foto itu, menurut Majalah TIME (10/4/2014), merupakan satu-satunya rakaman gambar paling terperinci dan dramatik dari sebuah hukuman mati sepanjang sejarah.

Banduan yang sedang dijemput ajal melalui kerusi elektrik dalam foto itu bernama Ruth Snyder. Dia adalah suri rumah dari New York, yang pada 1927 dinyatakan bersalah kerana melakukan pembunuhan terhadap suaminya sendiri, Albert Snyder. Dalam aksi  untuk merebut harta suaminya tersebut, dia dibantu selingkuhan bernama Judd Gray, yang juga dihukum mati.


Kes pembunuhan ini pada masanya menggemparkan orang ramai di AS. Semasa perbicaraan, ramai media datang membuat liputan. Oleh sebab itu, mahkamah memerintahkan hukuman mati Ruth pada 12 Januari 1928 di dalam Penjara Sing-Sing tertutup untuk akhbar.

Namun, akhbar New York Daily News rupanya tak kehilangan akal. Mereka tahu semua wartawan sudah dikenali wajahnya oleh polis, akhbar ini mengupah Tom Howard, seorang jurugambar muda asal Kota Chicago.

Lelaki itu berjaya mengabui petugas penjara, dengan cara menyelipkan kamera di pergelangan kakinya. Kabel khusus dia sambung ke butang di paha. Dengan demikian, sambil duduk menyaksikan proses pelaksanaan kerusi elektrik, Tom tetap boleh mengambil gambar.


Tom cuma berjaya merakam satu gambar dengan kurang sempurna. Beberapa saat selepas gambarnya diambil, khabarnya Ruth disahkan mati pada usia 32 tahun.

Tom terburu-buru ke studio gambar terdekat, mencetak, lalu menyerahkan kepada New York Daily News. Pasukan redaksi berjaga sepanjang malam demi menyunting laman depan muka agar menarik pembaca. Esok harinya, terbit salah satu edisi akhbar yang menggegarkan dunia. Itu adalah gambar pertama hukuman mati terdokumentasikan walau agak kabur.

Dari foto tersebut, Tom dikenali ramai. Dia mendapat bonus sebanyak US $ 100 dari akhbar yang mengupahnya.

Di sisi lain, kerajaan Amerika Syarikat mengetatkan pemeriksaan saksi hukuman mati. Sampai sekarang, pergelangan kaki sampai hujung rambut tetamu pelaksanaan diperiksa. Itu prosedur standard agar tidak ada kamera yang boleh lolos.

Dunia antarabangsa juga terkejut melihat gambar itu. Hampir semua negara melaksanakan peraturan ketat agar saat-saat kematian pesalah tidak dirakam kamera.

Tak salah bila TIME memilih foto Ruth di kerusi elektrik sebagai detik-detik paling dramatik dari hukuman mati sepanjang sejarah moden.



Sumber: merdeka.com

Gambar kapal selam Nazi Jerman 'U-Boat' berlabuh di Tanah Melayu








At the outbreak of the second world war in 1939, the 'U-Boat peril' menaced international shipping. Travelers sailing westward from Penang were afraid their ship might encounter German submarines which destroyed allied merchant ships using 'wolfpack' tactic. News about the predator U-Boats excited popular imagination, and in Malay the word was translated as 'Kapal Yu' - literally the shark boat. Raja Shahabuddin, a pilgrim from Perak leaving for Mekkah from the port in Penang 1940 wrote a poem about it in jawi script

Selamat tinggal Tanah Melayu
Sahaya belayar berasa sayu
Umpama daun badanku layu
Takut berjumpa 'Kapal Yu'

Yu kapal penyelam
Dipunyai Jerman timbul tenggelam
Mengambat musuhnya di lautan dalam
Di waktu siang ataupun silam



Sumber: carigold

Penyelidik temui iblis laut

 
SPESIS ikan ‘the Black Seadevil’ atau iblis laut merupakan hidupan laut yang hidup di laut dalam di Lautan Hindi, Pasifik dan Atlantik.

Namun penemuannya yang sangat jarang dilaporkan menimbulkan keraguan terhadap kewujudan spesies ini.

Menerusi sebuah laporan berita SFGate, Institut Kajian Akuaria Teluk Monterey (MBARI) melaporkan menemui spesies ini yang sepanjang lapan sentimeter  pada November lalu.

Malah, kumpulan penyelidik institusi berkenaan turut merakamkan video berdurasi lebih 10 saat untuk mendedahkan hidupan tersebut kepada orang ramai.

Sementara itu, Ketua kumpulan penyelidik, Bruce Robinson berkata, penemuan tersebut dilakukan pada kedalaman 1,900 kaki daripada permukaan laut.

“Ia merupakan kali pertama pihak kami berjaya merakamkan hidupan tersebut di habitatnya, spesies ini adalah antara yang paling jarang ditemui  di semua kawasan laut dalam,” katanya.

Iblis laut pada kebiasaannya hidup di laut dalam dan tidak pernah mendedahkan dirinya di permukaan laut seperti hidupan laut yang lain.

Ikan ini dikatakan mempunyai daya penglihatan sangat tajam dan boleh memakan mangsa yang lebih besar daripada saiz badannya berikutan tahap fleksibiliti yang tinggi pada bahagian perut.

Iblis laut ini dikatakan tergolong antara lima spesies dalam keluarga Melanocetus.

Untuk rekod, Iblis laut ini pernah menjadi watak di dalam filem animasi Finding Nemo yang ditayangkan pada tahun 2003.


Sumber: Sinar Harian