Pelajar SPM antara dicekup ketika leka berpesta liar

Anggota polis membuat pemeriksaan di Pantai Batu 6, awal pagi semalam.

PORT DICKSON - Sekumpulan individu dikesan menjadikan kawasan pantai di sini untuk melakukan kegiatan tidak bermoral dengan mengadakan parti pantai atau Beach Party, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, kegiatan mereka dapat dihidu pihak berkuasa apabila polis diketuai Inspektor Nursaiful Asrar Ahmad Najih membuat serbuan di Pantai Batu 6 itu, kira-kira 3.30 pagi semalam.

Dalam serbuan itu, seramai 48 individu berusia 18 hingga 35 tahun yang sedang leka bersukaria diperiksa anggota polis narkotik sebelum mendapati 27 daripada mereka positif dadah.

Turut ditahan kerana didapati positif dadah, tiga pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, serbuan dibuat berikutan aduan orang ramai, selain risikan pihaknya.

“Siasatan mendapati parti itu dianjurkan atas persetujuan bersama antara mereka. Kesemua mereka datang dari Lembah Klang termasuk Selangor," katanya.

Menurutnya, sebahagian besar yang ditahan adalah pekerja bahagian penyelenggaraan di sebuah hotel di Genting Highlands, promoter dan jurujual di kompleks membeli-belah serta
penganggur.

“Hasil ujian saringan air kencing dijalankan mendapati 27 suspek termasuk tiga pelajar terbabit positif methamphetamine. Kesemua mereka di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port
Dickson untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Abd Wahab berkata, polis turut merampas beberapa peralatan parti termasuk alat pembesar suara dan alat pemain muzik.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, polis akan terus melakukan penguatkuasaan di kawasan pantai bagi memastikan kegiatan tidak bermoral seperti itu tidak berulang.

Sumber: Sinar Harian


3 comments: