Polis kena penampar seorang wanita


Ampang: Seorang pegawai polis cedera dipukul dan ditampar seorang wanita yang dikatakan berang selepas terbabit kemalangan dengan kenderaan dipandu pegawai terbabit, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 8 pagi itu, wanita berusia 40-an berkenaan yang mengalami luka dan lebam mata kanan selain sakit di bahagian kepala dan perut mendapatkan rawatan di Hospital Ampang, di sini, sebelum membuat laporan polis.


Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa memandu kereta jenis Myvi dalam perjalanan ke tempat kerja dilanggar kereta Suzuki Swift dari belakang di Taman Muda, di sini.

“Mangsa yang keluar melihat kerosakan dihampiri seorang wanita yang melanggar keretanya itu sebelum naik angin,” katanya.


Katanya, wanita itu kemudian bertindak lebih agresif apabila memukul dan menampar muka mangsa.


Sumber berkata, berikutan tindakan agresif wanita itu, mangsa terpaksa memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis namun sebaliknya mangsa dimaki wanita terbabit.

“Dia bagaimanapun melarikan diri selepas itu. Mangsa cedera memandu ke Hospital Ampang mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis mengenai insiden itu,” katanya.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. - MyMetro

3 comments: