Jemaah dijirus air ketika solat

Mat Isa menunjukkan pintu yang retak akibat perbuatan lelaki terbabit kerana tidak dapat memasuki masjid.

JENGKA 21 - Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang dipercayai tidak siuman sering mengganggu jemaah dan merosakkan harta benda sebuah masjid di sini.

Imam masjid tersebut, Mat Isa Megat Saad, 64, berkata, lelaki terbabit menjadikan masjid itu sebagai tempatnya berteduh sejak tiga tahun lalu.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, lelaki terbabit dilihat sering mengganggu jemaah masjid terutamanya yang datang mendirikan solat sendirian.

“Saya sendiri pernah diganggunya, Cermin mata saya ini sudah berapa kali bertukar kerana dia. Malah ketika solat, saya pernah dijirus air olehnya,” katanya.

Mat Isa berkata, setiap bulan laporan polis dibuat berhubung perlakuan lelaki terbabit dan dia ditangkap, namun hanya bertahan seketika.

“Tiga hari lepas, sekali lagi lelaki itu ditangkap tetapi untuk beberapa hari. Selepas dibebaskan, dia akan kembali duduk di masjid ini,” katanya.

Kehadiran lelaki tidak siuman terbabit membuatkan jemaah takut untuk mengerjakan solat bersendirian di masjid ini.

Menurutnya, lelaki itu berasal dari tanah rancangan di sini tetapi enggan pulang ke rumahnya.

“Ada masa, dia berkelakuan elok sahaja, tetapi jika tidak memenuhi kehendaknya, dia akan bertindak ganas,” katanya.

Mat Isa berkata, dia pernah mengunci masjid terbabit bagi menghalang lelaki itu masuk, tetapi lelaki berkenaan memecahkan cermin tingkap dan pintu.

Katanya, selain berkelakuan agresif, lelaki terbabit juga akan merosakkan harta benda masjid dan  mencampakkan al-Quran serta kitab agama ketika mengamuk.

Beliau berkata, kehadiran lelaki terbabit di masjid tersebut menyebabkan bil elektrik meningkat daripada RM40 kepada RM200 sebulan.

Katanya, beberapa hari lalu, lelaki terbabit dikatakan membelasah seorang peneroka dari Felda Jengka 24.

“Saya tidak kenal siapa peneroka itu, tetapi ada yang memberitahu peneroka itu sering singgah ke masjid ini untuk solat ketika menunggu anaknya yang kurang upaya balik dari sekolah.

“Sebaik mendengar berita itu, saya terus ke masjid dan saya melihat ada kesan darah di kaki lima masjid ini.

"Kemudian kira-kira jam 9 malam, polis datang menangkap lelaki itu. Mungkin atas laporan peneroka terbabit,” katanya.

Mat Isa berkata, beliau juga sering menerima aduan daripada jemaah-jemaah wanita yang sering diganggu lelaki terbabit sehingga mereka takut untuk mengerjakan solat di masjid berkenaan.

Katanya, lelaki terbabit meminta wang daripada seorang jemaah wanita dan apabila permintaan itu tidak dipenuhi, dia menarik beg tangan wanita tersebut.

Menurutnya, disebabkan bimbang diapa-apakan, jemaah wanita terbabit terpaksa melepaskan begnya dan melarikan diri.

Mat Isa berkata, beliau dan ahli jawatankuasa masjid sudah berputus asa mencari ikhtiar untuk menghalang lelaki terbabit daripada terus tinggal dalam masjid itu.

“Saya sudah merujuk kepada pihak berwajib, tetapi mereka juga tidak boleh berbuat apa-apa. Polis hanya akan datang menangkapnya jika lelaki terbabit didapati mencederakan jemaah.

“Oleh itu, saya berharap agar pemimpin khususnya wakil rakyat prihatin dengan nasib yang menimpa jemaah masjid dan mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment