Menteri Sarawak bergaji besar

KUCHING – Semua wakil rakyat di Sarawak mendapat nafas baharu untuk berkhidmat dengan lebih dedikasi apabila mereka bakal menerima kenaikan gaji bulanan tiga kali ganda antara RM9,000 hingga RM26,000 sebulan berkuat kuasa 1 Januari 2012.

Mereka mendapat durian runtuh itu apabila Rang Undang-Undang (Gaji, Pencen dan Gratuiti) 2013 diluluskan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-17 di sini semalam.

Rang undang-undang yang meliputi pelarasan gaji, pencen dan ganjaran itu diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga dilakukan oleh Menteri Kewangan II negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh (gambar kecil).

Soon Koh berkata, wakil rakyat termasuk Setiausaha Politik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Menteri Muda, Menteri, Menteri Kanan, Timbalan Ketua Menteri dan Ketua Menteri akan menerima kenaikan sekurang-kurangnya tiga kali ganda atau 200 peratus.

Beliau berkata, kali terakhir DUN Sarawak membuat pelarasan gaji wakil rakyatnya ialah 21 tahun lalu iaitu pada tahun 1992.

“Pelarasan gaji ini mengambil kira faktor seperti peningkatan kos semasa, tanggungjawab dan cabaran ketika berkhidmat di wilayah yang besar,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Mengulas lanjut, Soon Koh memberitahu, gaji Setiausaha Politik akan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM9,000, ADUN (RM4,500 kepada RM15,000), Menteri Muda (RM7,000 kepada RM21,000) serta Menteri (9,000 kepada 27,000).

“Gaji Menteri Kanan pula dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM30,000, Timbalan Ketua Menteri (RM11,000 kepada RM35,000) serta Ketua Menteri (RM13,000 kepada RM39,000),” katanya.

Pada masa sama, Soon Koh menjelaskan, pelarasan berkenaan akan mengambil kira tunggakan gaji bermula 1 Januari 2012 dengan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM17 juta.

Kosmo

2 comments: