Pasangan Malaysia antara terkaya di Australia


MELBOURNE – Satu pasangan Malaysia di Australia telah menggandakan kekayaan mereka dan kini layak dipanggil 'billionaire'.     David Teoh, 57, dan isterinya Vicky, 56, telah mencapai salah satu peningkatan terbesar tahun ini dalam Senarai Mewah BRW Rich 200, melonjakkan kekayaan mereka daripada A$526 juta tahun lepas kepada A$1.06 bilion.
 
Pasangan Teoh, yang berhijrah dari Malaysia pada 1986, memiliki hampir 37 peratus daripada penyedia jalur lebar TPG Telecom, yang telah berkembang menjadi satu perniagaan bernilai A$3 billion selepas pertumbuhan harga saham yang konsisten semenjak 12 bulan lepas.
 
"Di sebalik kejayaannya, Teoh bencikan publisiti dan enggan gambarnya diambil oleh media," kata majalah bisnes BRW.
 
Pada Mac tahun ini, TPG melaporkan untung bersih selepas cukai sebanyak A$78.3 juta untuk setengah pertama tahun kewangan 2012-13, naik 41 peratus berbanding tempoh yang sama sebelum itu.
 
Vicky Teoh baru-baru ini dinamakan wanita yang mempunyai kemewahan sendiri terkaya di Australia dalam senarai Wanita Kaya BRW pertama berikutan saham 18 peratus miliknya dalam TPG.
 
Seperti suaminya, beliau tidak mahu dikenali dan amat jarang dapat di wawancara.
 
Turut serta dalam senarai itu adalah jutawan Sam Chong, daripada Tanah Rata, Cameron Highlands, yang melihat kekayaan perlombongannya menyusut daripada A$1 bilion kepada A$800 juta, serta pemaju harta Maha Sinnathamby, dari Negeri Sembilan, yang menaikkan kekayaannya kepada A$845 juta berbanding A$820 tahun lepas. - Bernama

Sinar Harian

1 comment:

  1. baru nak tengok muka dia...untung la wife dia..ahaha

    ReplyDelete