Air untuk Selangor, KL, Putrajaya dijangka tidak cukup mulai 2014


KUALA LUMPUR - Kapasiti bekalan air terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka tidak mencukupi mulai Julai 2014, kata Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Datuk Lee Miang Koi hari ini.
 
Ketika itu rizab bekalan air akan menjadi negatif apabila permintaan air terawat melebihi pengeluarannya.
 
"Syabas telah membuat graf unjuran permintaan air di ketiga-tiga kawasan itu dan dijangka bekalan air terawat semakin kritikal memandangkan kapasiti bekalan air tidak mencukupi mulai Julai 2014 apabila rizab bekalan air menjadi negatif," katanya kepada pemberita di sini.
 
Ketika ini permintaan air terawat ialah 4,638 juta liter sehari berbanding pengeluaran 4,661 juta liter sehari, lebihan 23 juta liter sehari sahaja.
 
Permintaan air dijangka terus meningkat di ketiga-tiga kawasan itu dengan kadar 3.5 peratus setahun dan keadaan ini bertambah meruncing terutama cuaca panas sekarang menyebabkan permintaan meningkat.
 
Lee berkata Syabas yang membekalkan air ke ketiga-tiga kawasan itu akan berusaha meningkatkan kapasiti pengeluaran dan 7.5 juta pengguna di kawasan berkenaan diminta berjimat cermat menggunakan air. - Bernama

1 comment:

  1. Yer ker..kalau macam tu masalah ini kena ada ahli fikir buat plan baru..

    ReplyDelete