Penggunaan indelible ink atau dakwat kekal tidak menjejaskan ibadah


KUALA LUMPUR - Penggunaan indelible ink atau dakwat kekal adalah harus dan dibenarkan dari aspek syarak kerana ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada ibadah umat Islam.
  
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Othman Mustapha dalam satu kenyataan hari ini berkata indelible ink tidak mengandungi bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak memberi kesan mudarat dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit (telap air) apabila digunakan.
  
"Ini diputuskan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 11 Jan 2012 mengenai hukum penggunaan indelible ink yang akan digunakan sempena pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
  
"Muzakarah memutuskan perkara ini berdasarkan pembentangan laporan analisis kimia, taklimat dan penjelasan daripada Jabatan Kimia serta penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.
  
Beliau berkata kenyataan itu dikeluarkan bagi memberi penjelasan kepada sesetengah pihak yang masih khuatir dan ragu-ragu sejauh mana penggunaan dakwat kekal itu dibenarkan oleh syarak dan telah dibincangkan di peringkat Muzakarah Fatwa.
  
Anggota keselamatan terdiri daripada pasukan tentera dan polis serta pasangan masing-masing yang menunaikan hak sebagai pengundi awal hari ini dicalit dakwat kekal berwarna merah buah saga di jari telunjuk kiri.
  
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan berkata warna dakwat kekal yang digunakan ke atas pengundi awal pada hari ini berbeza dengan warna dakwat kekal yang akan digunakan Ahad ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment