Parti basah kena serbu

 
Melaka: Sekumpulan individu dikesan menganjurkan ‘parti basah’ di kolam renang milik persendirian di sebuah kawasan resort di Jasin, di sini, kelmarin.

Difahamkan, parti berkenaan dianjurkan oleh sebuah syarikat pengurusan acara dengan mengenakan tiket bernilai RM35 setiap seorang bagi menyertai aktiviti yang turut menyediakan pelbagai minuman keras.


Parti bermula jam 5 petang hingga 1 pagi itu dikatakan turut dihadiri pengunjung beragama Islam, namun serbuan dilakukan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Jabatan Agama Islam Melaka pada lewat malam tidak menemui peserta beragama Islam berpesta di parti berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 10 malam, kebanyakan pengunjung berada di dalam kolam dan sebahagian mereka dipercayai sudah mabuk akibat pengambilan arak yang disediakan penganjur.


Setiausaha MPHTJ Shahdan Othman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi berkenaan untuk membuat pemeriksaan selepas menerima aduan awam mengenai parti liar itu.


Katanya, sejurus tiba, pihaknya mendapati parti itu masih berlangsung dengan pengunjung berada di kawasan kolam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati penganjur tidak mempunyai permit untuk menganjurkan parti itu. Kita turut merampas dan menyita pengadun bunyi yang digunakan penganjur untuk memainkan muzik di kawasan kolam,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Shahdan berkata, pihaknya kesal dengan tindakan penganjur melakukan aktiviti berkenaan yang dikhuatiri turut membabitkan kegiatan tidak bermoral.

Katanya, walaupun penganjur menganjurkan parti itu di tempat persendirian, mereka perlu memohon permit terlebih dulu bagi membolehkan MPHTJ menyemak aktiviti sebenar yang dijalankan.


“Kita amat komited dalam mencegah sebarang bentuk aktiviti liar dan negatif yang dijalankan di kawasan pentadbiran MPHTJ. Sekiranya ia dilakukan, kita akan menghalangnya.


“MPHTJ tidak mahu sebarang masalah timbul sekiranya perkara tidak diingini berlaku terutama ketika umat Islam menjalankan ibadat di bulan Ramadan,” katanya.

Sumber: myMetro

No comments:

Post a Comment