Skuad Piala Dunia Jerman berdepan dukun Brazil esok

GAMBAR menunjukkan patung voodoo mewakili pemain bola sepak Brazil ditempatkan dalam kotak khas, kononnya untuk memberikan tenaga dan tuah kepada mereka. Ia sebahagian daripada ilmu hitam seorang dukun tempatan di Rio ketika pasukan tuan rumah itu bertemu Colombia, Jumaat lalu.

Rio de Janeiro: Selain terpaksa berdepan dengan Brazil, pasukan Jerman juga akan bertarung dengan ilmu hitam seorang dukun tempatan pada perlawanan separuh akhir esok.

Brazil akan turun tanpa bintang mereka, Neymar di Belo Horizonte.

Bagaimanapun, dukun Helio Sillman dari Rio de Janeiro berkata, dia akan mengguna ilmu hitam untuk menghalang pasukan bimbingan Joachim Loew daripada mara ke perlawanan separuh akhir.

“Saya akan memilih pemain utama mereka dan mengikat kakinya bagi memastikan dia tidak boleh berlari ketika perlawanan,” kata Sillman, merujuk anak patung voodoo seorang pemain Jerman yang tidak dinamakannya yang akan disihir dalam satu majlis sebelum perlawanan bermula.


Di kedainya, ‘World of Orixas’ di kawasan kejiranan Madureira, utara Rio, Sillman menjalankan ritual ilmu hitam setiap kali sebelum perlawanan Brazil bermula.


Dengan menggunakan padang bola sepak kecil berbentuk kotak sebagai perantara ilmu hitamnya, dia meletakkan lilin yang dinyalakan mengikut warna kumpulan lawan dan patung voodoo pemain penting mereka.

Bagaimanapun, sumpahan Sillman ke atas bintang Colombia, James Rodriguez tidak mampu menghalang pemain itu menjaringkan gol dalam perlawanan yang menyaksikan pasukannya tewas 1-2 kepada Brazil dalam perlawanan suku akhir Jumaat lalu.

Selain itu, Sillman juga tidak berkuasa menghalang bintang Brazil Neymar daripada cedera tulang belakang ketika beraksi menentang Colombia, sekali gus memaksanya mengundur diri daripada perlawanan menentang Jerman.

Namun, Sillman berkata, keputusan perlawanan Brazil ketika menentang Cameroon, Chile, Croatia dan Mexico adalah hasil keberkesanan sihirnya.

“Brazil tidak berjaya dikalahkan oleh keempat-empat pasukan itu kerana sihir saya,” katanya. - AFP

Sumber: myMetro

2 comments: