MH17: Pengganas halang siasatan, cuba hapus bukti

 
KUALA LUMPUR - Kerajaan Ukraine mendakwa kumpulan pengganas pro-Rusia menghalang pelancaran siasatan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Donetsk, wilayah timur Ukraine, Khamis lepas.

Menurut kiriman terbaru dalam portal rasmi kerajaan Ukraine, http://www.kmu.gov.ua, kumpulan itu menghalang pasukan penyiasat dan pemantau antarabangsa daripada pergi ke  lokasi nahas.

"Kerajaan dimaklumkan kumpulan pengganas telah memindahkan sebanyak 38 mayat ke rumah mayat di Donetsk di mana 'pakar-pakar' berloghat Rusia mendakwa mereka berhasrat melakukan proses bedah siasat.

"Kumpulan pengganas juga sedang mencari lori kargo untuk membawa serpihan pesawat ke Rusia," menurut laman web itu.

Kerajaan Ukraine secara rasmi berkata: "Pengganas dengan sokongan Rusia cuba menghapuskan bukti jenayah antarabangsa ini.

"Kami menggesa komuniti antarabangsa untuk memaksa Rusia menarik balik pengganasnya daripada Ukraine dan membenarkan pakar Ukraine dan antarabangsa untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap tragedi ini.

Kerajaan Ukraine juga berkata, tidak ada pengampunan untuk penjenayah antarabangsa mahupun bagi mereka yang menyokong, melatih, membiayai dan membekalkan senjata kepada kumpulan itu.

"Kerajaan (Ukraine) menyediakan semula peralatan teknikal yang sewajar dan anggota untuk menjalankan siasatan dan pemeriksaan forensik serta apa juga kemudahan untuk menghantar jasad mangsa ke negara asal masing-masing.

"Bagaimanapun pada peringkat ini, kumpulan pengganas menghalang usaha ini daripada berlaku," menurut laman web itu.

Penerbangan MH17, dengan 283 penumpang dan 15 anak kapal, ditembak jatuh dipercayai menggunakan sistem peluru berpandu permukaan ke udara, ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Kesemua penumpang dan anak kapal disahkan terkorban dalam nahas tersebut yang berlaku, kira-kira 50km dari sempadan Rusia.

Menurut laman web Pusat Media Krisis Ukraine, sebanyak 170 anggota pasukan mencari dan menyelamat Ukraine sedang menjalankan operasi di lokasi nahas di bawah muncung senjata kumpulan pengganas tersebut.

Semasa taklimat di pusat media di Kiev, kira-kira 400km dari lokasi nahas di daerah Sharkhtarsk, wilayah Donetsk, jurucakap Pusat Maklumat Majlis Keselamatan dan Pertahanan  Ukraine, Andriy Lysenko berkata operasi mencari dan menyelamat begitu rumit sekali dengan kehadiran pengganas bersenjata di kawasan berkenaan.

Lysenko berkata operasi mencari dan menyelamat itu meliputi kawasan seluas 25km persegi dengan kira-kira 18km persegi sudah diselesaikan dan pasukan penyelam telah memeriksa lebih dua kilometer takungan air di kawasan itu.

"Setakat pukul 7 pagi waktu Ukraine, 19 Julai, sebanyak 186 mayat telah ditemukan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment