Sebahagian penduduk Kampung Parit Jerman ceria bergmbar di hadapan papan tanda kampung.
PONTIAN - Secara tiba-tiba, nama Kampung Parit Jerman di sini, menjadi sebutan apabila dikaitkan dengan kemenangan pasukan Jerman membelasah tuan rumah, Brazil 7-1 pada aksi Piala Dunia 2014, kelmarin.
Kampung Parit Jerman terletak berdekatan Kampung Belokok, lebih kurang lima kilometer dari Pekan Peradin.
Asal-usul nama Parit Jerman dikatakan bermula apabila terdapat penempatan satu kelompok bangsa Jerman yang mengusahakan ladang pertanian di sini dan mengeluarkan hasil pertanian melalui sungai.
Ketua Kampung Kawasan (1), Mukim Ayer Masin, Mohd Asri Ali berkata, dia tidak menyangka kampung yang hanya mempunyai 100 penduduk terdiri daripada masyarakat Jawa, Bugis dan Banjar menerima tempias Piala Dunia.
“Sudah kali kelapan pasukan Jerman melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia, tetapi hanya tahun ini nama Kampung Parit Jerman disebut-sebut di dalam laman sosial.
“Malah, terdapat juga penduduk dari luar yang datang ke Kampung Parit Jerman untuk mengambil gambar papan tanda nama kampung sejak Piala Dunia 2014 bermula,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Katanya, nama Kampung Parit Jerman menjadi kebanggaan penduduk tempatan khususnya di daerah ini kerana ia bukti kehadiran orang Jerman di Sungai Peradin suatu ketika dahulu.
Kesan peninggalan sejarah seperti batu-bata dan tangga batu yang dianggap penduduk tempatan terutama generasi tua sebagai bukti peninggalan askar Jerman pada Perang Dunia Kedua.
Tangga batu tersebut dipercayai menjadi bukti adanya aktiviti perdagangan kerana kedudukan Sungai Peradin berhadapan Singapura.
Biarpun tiada sebarang kajian sejarah dilakukan, namun bagi kebanyakan penduduk kampung ini, mereka percaya terdapat kehadiran askar Jerman di sini suatu ketika dulu.
Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Parit Jerman, Mohd Khairi Tambi, 40, berkata, tempias kemaraan pasukan Jerman dalam Piala Dunia terhadap Kampung Parit Jerman, menyebabkan ramai penduduk luar bertanya asal usul kampung.
“Ramai tidak tahu asal nama kampung Parit Jerman. Nama Jerman bukan diambil secara suka-suka, tetapi punya sejarahnya tersendiri.
“Gambar-gambar yang dimuat naik dalam laman sosial terutama Facebook, turut membantu meningkatkan nama daerah Pontian.
“Malah ramai yang tidak menyangka kewujudan kampung ini, yang beranggapan ia hanya gurauan, tetapi hakikatnya, Kampung Parit Jerman sudah wujud lama,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
glamour jap
ReplyDeleteHeee... Redz nak tahu ini sebelah kampung kakak tau.
ReplyDeleteJom dtg kalau nak tengok. Hari Raya mesti gempak hahaha...
Sebenarnya kakak rasa penduduk kg ini tak lebih dari 100. Ramai warga yg dah berpindah jauh...