Anggota bomba membantu menurunkan mangsa yang tidak dapat turun dari pokok kelapa.
IPOH - “Tolong saya mahu turun,” jerit seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang berada di atas pokok kelapa hampir sejam dalam kejadian di Taman Lim, di sini, semalam.
Lelaki itu dipercayai diupah rakan T Kandavaani, 78, untuk mengambil buah kelapa di rumahnya.
Kandavaani ketika ditemui di rumahnya berkata, ketika kejadian dia berada dalam rumah sebelum mendengar jeritan lelaki berkenaan.
“Saya hanya dengar dia minta tolong untuk turun, tetapi tidak tahu kenapa. Saya yang ketika itu panik, segera menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.
"Apabila bomba tiba, mereka segera menyelamatkan lelaki terbabit dengan menurunkannya menggunakan tangga. Ketika ditanya, lelaki itu beritahu kakinya kejang," katanya.
Menurutnya, dia jarang mengambil buah kelapa namun sering menawarkan kepada rakan yang ingin mengambil buah itu.
“Rakan saya yang upah lelaki ini untuk memetik buah kelapa atas pokok.
“Nasib baik lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Arif Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 11.34 pagi.
“Sejurus menerima panggilan, kami segera ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki berada di pokok kelapa.
“Kami menggunakan tangga untuk membawa mangsa turun. Mangsa dipercayai mengalami kekejangan kaki semasa berada di atas pokok tersebut. Operasi selesai pada jam 12.50 tengah hari dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya.- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment