A&W PJ Bakal ditutup, restoran 'diserang pelanggan

 Orang ramai beratur panjang di restoran A&W di Petaling Jaya pada pukul 10 malam.

"Restoran ini nostalgik, ia mahu dirobohkan jadi saya mahu menikmati makanan yang pernah menjadi sebahagian daripada memori saya sejak kecil sebelum ia dirobohkan...

Terkejut dengan berita yang mengatakan restoran makanan segera A&W di Petaling Jaya, Selangor akan ditutup Disember ini, premis itu 'diserang' pelanggan malam tadi.

Premis tersebut bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan dua menara pejabat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM200 juta.

Restoran yang kebiasaannya menerima kehadiran pelanggan yang sederhana sejak beberapa tahun lalu tiba-tiba dibanjiri orang ramai yang mahu menikmati hidangan restoran tersebut yang terkenal dengan float root beer, coney dog serta waffle.

Tinjauan pada jam 10 malam tadi mendapati para pelanggan terpaksa beratur sehingga ke tempat meletak kenderaan di premis tersebut.

Keadaan di dalam restoran juga penuh sesak sehingga menyukarkan pelanggan untuk nendapatkan tempat duduk.

 Ini situasi yang jarang dilihat di premis tersebut.

"Restoran ini nostalgik, ia mahu dirobohkan jadi saya mahu menikmati makanan yang pernah menjadi sebahagian daripada memori saya sejak kecil sebelum ia dirobohkan," kata Amy.

Apa yang menarik ramai di antara pengunjung pada ketika itu terdiri daripada golongan yang berusia sekitar 40 hingga 50 tahun berbanding pelanggan remaja.

Ini mungkin disebabkan restoran makanan segera pertama di Lembah Kelang itu merupakan satu-satunya lokasi untuk mereka menikmati menu ringkas barat pada ketika itu.


A&W yang terletak di Lorong Sultan berhadapan pusat membeli-belah Amcorp Mall dan stesen LRT Taman Jaya itu dibuka pada 1965.

Ia merupakan restoran makanan segera pertama di Asia Tenggara yang mempunyai perkhidmatan pandu-lalu.

Biarpun kehadiran pengunjung semakin berkurangan, sehingga jam dua pagi, pelanggan masih lagi memenuhi restoran yang beroperasi 24 jam itu dan perlu beratur sehingga ke luar bangunan.

Tiada tanda-tanda untuk mereka mengalah kerana ini mungkin kesempatan yang tinggal untuk menikmati hidangan yang terkenal menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Tambahan pula, terdapat khabar angin yang mengatakan KUB Malaysia Bhd. (KUB), pemegang francais A&W Malaysia dan Thailand akan menutup semua operasi restoran tersebut di negara ini.- malaysiagazette

No comments:

Post a Comment