Bookie Piala Dunia kaut RM1 juta 1 perlawanan

 
Petaling Jaya: Seorang lelaki berusia 30-an yang menjadi jutawan ‘bookie’ sempena perlawanan Piala Dunia Brazil 2014 dikesan mampu mengaut keuntungan hasil wang pertaruhan mencecah RM1 juta bagi satu perlawanan bola sepak.

Suspek terbabit dikesan tidak perlu bersusah payah apabila menjadikan kediamannya di Bandar Utama, Damansara di sini, sebagai ‘markas’ mengumpulkan pertaruhan dari ‘kaki judi’ secara solo.

Kegiatan suspek bagaimanapun ditumpaskan selepas sepasukan polis Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Petaling Jaya dibantu D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Bukit Aman menyerbu kediaman itu pagi semalam.

Dalam serbuan jam 1.45 pagi itu, suspek dikesan duduk di ruang tamu kediaman sambil mengendalikan nama dan senarai pertaruhan diterima dari ‘pelanggan’.


Jurucakap polis berkata, suspek tidak sempat melarikan diri sebaik kediamannya diserbu masuk anggota polis.


Menurutnya, pihak polis merampas satu set komputer yang digunakan untuk mengendalikan pertaruhan terbabit selain telefon bimbit dan buku nota catatan pertaruhan.

“Polis turut merampas telefon talian tetap yang digunakan suspek di kediaman itu bagi mengatur pertaruhan secara dalam talian. Suspek dibawa ke Ibu Peiabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

“Suspek dipercayai menjadi bookie dan mengendalikan pertaruhan haram mencecah jutaan ringgit dari kaki judi tempatan,” katanya.

Menurutnya, suspek akan diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA), Seksyen 6 Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sumber: myMetro

2 comments: