Juruterbang Pesawat MH17 Hasrat Tunai Haji Selepas Aidilfitri

Bangkai pesawat MH17 terbakar selepas dipercayai "ditembak jatuh" ketika ia terbang pada ketinggian 30,000 kaki.

KEMAMAN: Juruterbang pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17, Wan Amran Wan Hussin, 50, berhasrat menunaikan fardu haji bersama kakaknya pada musim haji bulan depan.

Menurut anak saudaranya, Amaluddin Noorshah, 48, hasrat itu dinyatakan ketika Wan Amran pulang ke kampungnya untuk berbuka puasa bersama sanak saudaranya di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak, minggu lepas.

"Dia menyatakan hendak menunaikan rukun Islam yang kelima itu bersama kakaknya Wan Aini, ketika itu saya merasakan ada kelainan dari nada suaranya," katanya.

Amaluddin berkata beliau tidak menjangka itulah kali terakhir bertemu bapa saudaranya setelah mendapat berita tragedi MH17 itu lewat malam Khamis.

"Saya mengetahuinya melalui aplikasi 'Whatsapp' yang memang disertai oleh ahli keluarga, lemah seluruh tubuh ahli keluarga kami setelah mendapat tahu Wan Amran memandu pesawat terbabit,"katanya.

Amaluddin tidak menyangka tragedi buruk itu akan menimpa bapa saudaranya kerana dalam pengetahuannya Wan Amran telah memandu pesawat Boeing lebih 20 tahun lalu.

"Dia sangat rapat dengan adik beradiknya dan suka bersedekah, isteri dan dua anak lelaki tinggal di Shah Alam,"katanya.

Amaluddin mengakui hubungannya dengan bapa saudaranya itu memang rapat sejak daripada kecil lagi.

Pada sidang media khas di Hotel Sama-Sama, Sepang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan pesawat MH17, yang membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di timur Ukraine.

Beliau berkata setakat ini Malaysia tidak dapat mengesahkan punca tragedi dan berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu ditembak jatuh berhampiran sempadan Rusia, Khamis.

Pesawat itu berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.10 pagi waktu tempatan. - mstar.com.my

3 comments:

  1. Sedihnya...
    Mungkinkah ada salah-silap kita dgn perintah Allah lalu dijadikan ini sebagai peringatan utk segera kembali ke jalan Allah..

    ReplyDelete
  2. sedih sangat2 baca mengenai kisah nie
    al-fatihah

    ReplyDelete
  3. innalillahiwainnalillahirojiun....

    ReplyDelete