Kolah masjid ini berusia 662 tahun?

Ismail (berdiri) bersama jemaah Masjid Mukim Telaga Papan di tepi kolah yang berusia 662 tahun.

 TELAGA PAPAN - Kolah berusia 662 tahun dikekalkan untuk kegunaan orang ramai mengambil wuduk di Masjid Mukim Telaga Papan sebagai simbol kesepakatan penduduk setempat dalam hal berkaitan agama.

Imam masjid berkenaan, Ismail Yaacob berkata, kolah yang dibina pada tahun 1352 yang masih berfungsi dengan baik itu dikekalkan sebagai bahan sejarah yang tidak ternilai.

Menurutnya, pihak masjid boleh membina kolah baharu tapi mengambil keputusan mengekalkannya supaya generasi muda mengetahui kerjasama penduduk di mukim tersebut dipupuk sejak beratus tahun lalu.

“Pada asalnya ia dibina di madrasah Kampung Tok Saboh, Kuala Besut, antara 60 hingga 70 penduduk bekerjasama mengusungnya ke madrasah Kampung Gajah Mati, Semerak sejauh dua kilometer.

“Pada tahun 1967, penduduk mengusungnya ke Masjid Telaga Papan dan ia kekal di masjid ini sehingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, kolah itu terlalu berat kerana tapak konkritnya tebal dan ia masih kukuh serta tidak menunjukkan tanda ia akan rosak dalam masa terdekat.

Pada suatu ketika, jemaah masjid bekerjasama memasang jubin di sekeliling kolah untuk mencantikkannya.

“Saya mahu penduduk mengenang sejarah kolah ini kerana ia mungkin merupakan kolah paling lama yang masih ada dan digunakan di daerah ini.

“Saya juga mahu generasi hari ini membayangkan betapa bersemangat orang-orang terdahulu dalam perkara berkaitan agama sehingga sanggup mengusungnya,” katanya.

Katanya, kaedah mengusungnya sama seperti mengusung rumah iaitu dengan meletakkan kayu di bawahnya dan orang ramai mengusungnya beramai-ramai.

“Jarak dua kilometer terlalu jauh bagi masyarakat zaman dahulu kerana mereka terpaksa mengusungnya melalui kawasan hutan dan belukar, saya percaya ia tidak berlaku dalam masa sehari,” katanya. - Sinar Harian

1 comment:

  1. Nilai sejarah yg amat bermakna sebenarnya itu yg sayang..

    ReplyDelete