Tom Cruise mahu bertemu makhluk asing


Hollywood: Bintang Hollywood Tom Cruise mahu membuat perjalanan ke angkasa.

Aktor itu berkata, dia akan menimbangkan untuk membelanjakan 130,000 pound (RM 606,366) untuk terbang menembusi orbit dan ingin sekali terserempak dengan makhluk asing.

Bercakap ketika mempromosikan filem sains fiksyen terbarunya, Oblivion, Cruise menambah: “Siapa yang tidak mahu melakukan seperti demikian?”

“Saya akan membiarkan beberapa orang lain mencubanya dulu tetapi ia pasti hebat. Saya sentiasa berharap ketika kanak-kanak dulu yang kita akan membuat perjalanan ke planet berlainan pada masa kini.”


Bintang War of the Worlds itu mengikut jejak langkah selebriti lain seperti Ashton Kutcher yang bercadang ingin ke angkasa. Bintang Two and a Half Men itu sudah pun membayar RM606,366 untuk misi dua jam Virgin Galactic yang akan datang.


Cruise yang juga seorang pengikut Saintologi percaya ia bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk memikirkan bahawa makhluk asing wujud. Sesetengah rakan seagamanya percaya bahawa makhluk asing bergelar Xenu membawa manusia ke Bumi 75 juta tahun lalu.

Cruise berkata: “Saya tidak fikir anda boleh benar-benar mempercayainya.

“Ia mungkin agak sombong untuk memikirkan bahawa kita satu-satunya makhluk di seluruh semesta galaksi ini tetapi saya tidak pernah bertemu dengan makhluk asing.”

Cruise berkata demikian ketika tayangan perdana Oblivion di Moscow, Russia, di mana dia melakonkan watak seorang daripada beberapa lelaki terakhir di bumi selepas peperangan dengan makhluk asing membinasakan planet ini pada 2073.

Bintang yang berketinggian 5 kaki 7 inci itu sudah berlatih untuk perjalanan itu dia pernah sekali terbang dalam simulator kapal angkasa di pusat angkasa Nasa di Houston, Texas. Itu adalah satu langkah besar buat seorang lelaki yang kecil. - The Sun


2 comments: