Rangka misteri 600 tahun dijumpai

Daily Mail

Ahli arkeologi Ireland Utara menemui rangka seorang remaja perempuan yang mungkin menjadi mangsa pembunuhan misteri kira-kira 600 tahun lalu di sebuah tapak pembinaan jalan di Enniskillen, Fermanagh, baru-baru ini.

Selain rangka gadis itu, ahli arkeologi turut menemukan kira-kira 4,000 artifak dipercayai daripada zaman pertengahan di lokasi yang pernah menjadi sebuah kawasan penempatan purba tersebut.

Rangka remaja perempuan itu yang dipercayai meninggal dunia pada abad ke-15 atau ke-16, tidak dikebumikan di tanah perkuburan yang disediakan dan tidak dilakukan mengikut adat tradisi masyarakat pada zaman itu.

Ini membuatkan ahli arkeologi berpendapat berlakunya perbuatan khianat terhadap remaja itu.

Sementara itu, Pengarah Tapak Penggalian, Dr. Nora Bermingham berkata, penemuan tapak itu merupakan kemuncak kepada kariernya.

"Saya percaya, pekerja penggalian juga tahu mereka sedang melakukan perkara yang luar biasa yang mungkin tidak akan dijumpai lagi selepas ini,'' katanya hari ini.

Daily Mail

Antara barang lain yang ditemukan adalah satu permainan papan zaman pertengahan, sebentuk cincin emas, mangkuk yang mempunyai ukiran, kasut kulit dan pakaian daripada pin logam yang dihias dengan baik.

Lebih 2,000 pengunjung telah melawat pusat penggalian itu dalam tempoh tiga hari ia dibuka kepada umum.

Kawasan bersejarah itu kini sedang dibangunkan untuk pembinaan jalan raya di Ireland Utara.

Bagi tempoh 10 bulan yang lalu, mesin jengkaut telah menemukan pelbagai jenis barangan di kawasan itu yang akan disimpan dan diharap, ia akan dipamerkan kepada orang ramai satu hari nanti.

Bagaimanapun, di sebalik penemuan itu, jentera berat dijangka akan kembali ke kawasan penemuan artifak esok bagi meletakkan konkrit di kawasan tersebut untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan raya baharu bersempena sidang kemuncak G8 di Fermanagh, Jun ini.

Sejak penemuan artifak dan mayat tersebut, pembinaan jalan raya baharu itu mendapat bantahan keras daripada penduduk.

Mereka menganggap penempatan yang digelar Drumclay Crannog kira-kira 1,400 tahun lalu bersama peninggalannya, merupakan satu sejarah yang perlu dikekalkan. - AGENSI


3 comments: