Adik Muhammad Azim yang menderita kanser mata hembus nafas terakhir


KUALA KRAI - Penderitaan pesakit kanser mata, Muhammad Azim Nor Hazri, 4, dari Kampung Keroh, dekat sini, sejak dua tahun lalu berakhir apabila kanak-kanak itu meninggal dunia, semalam.

Muhammad Azim yang kisahnya disiarkan Sinar Harian akhir Februari lalu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, jam 12.25 tengah hari.

Allahyarham yang disahkan menghidap Retinoblastoma atau sejenis kanser mata kanak-kanak dimasukkan ke hospital itu sejak 3 Februari lalu selepas keadaan penyakitnya bertambah teruk.

Ibu Muhammad Azim, Nik Zuraidah Nik Yali, 39, berkata, keadaan anak bongsunya daripada tiga beradik itu tiba-tiba semakin teruk selepas menjalani rawatan kimoterapi, Ahad lalu.

“Rawatan kimoterapi kali ini dibuat berterusan dan kali terakhir Ahad lepas. Selepas rawatan terakhir, saya risau sebab dia asyik muntah-muntah kerana sebelum ini, dia tak pernah muntah selepas kimoterapi,” katanya.

Nik Zuraidah berkata, dia bercadang memohon kebenaran daripada pihak hospital untuk membawa pulang Muhammad Azim ke rumah mereka di Kampung Keroh, Khamis ini, namun nampaknya tak kesampaian.

“Selepas dua tahun menanggung derita termasuk tiga bulan terakhir terlantar di hospital, saya reda dengan pemergiannya,” katanya selepas pengebumian Muhammad Azim, semalam.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Keroh, dekat sini, selepas solat Asar.

Penderitaan Muhammad Azim mula mendapat perhatian ramai apabila kisahnya yang terlantar di hospital disiarkan Sinar Harian pada 22 Februari lalu.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan, antaranya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut berkongsi kisah Muhammad Azim dalam laman sosial facebook Menteri Besar Kelantan.

Ketumbuhan pada mata kiri kanak-kanak itu mula dikesan pada pertengahan 2011 dan seolah-olah ‘hidup’ apabila semakin hari semakin membesar hingga terpaksa menjalani beberapa pembedahan dan kimoterapi.

Sementara itu, Nik Zuraidah berkata, keluarganya ada menerima sumbangan daripada masyarakat yang prihatin selepas kisah Muhammad Azim disiarkan dan mengucapkan terima kasih atas bantuan berkenaan.

“Hanya ALLAH sahaja dapat membalas segala jasa dan budi baik semua pihak yang menghulurkan sumbangan dan menziarah Muhammad Azim sepanjang dia berada di hospital,” katanya. - Sinar Harian

1 comment: