Gangguan bekalan air selama 5 hari di ibu negara bermula semalam

KONTRAKTOR pembaikan melakukan baik pulih pada paip pecah.

Kuala Lumpur: Setengah juta penduduk sekitar ibu negara dan wilayah Gombak dijangka berdepan gangguan bekalan air selama lima hari bermula semalam, berikutan paip penghubung dari Kolam Air Dusun Kubung ke Wangsa Maju pecah.

Paip itu dari jenis ‘mild steel’ berukuran lilit 2,000 milimeter pecah akibat tebing sungai di Kampung Melayu Batu Caves di sini, runtuh selepas hujan lebat yang turut mengakibatkan banjir kilat di ibu negara semalam.


Pengarah Eksekutif Bahagian Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) Yusof Saroji berkata, pihaknya terpaksa mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning untuk pembaikan itu.

“Paip pecah ini membekalkan air kepada 89,760 akaun domestik dan pukal di 82 kawasan di Wilayah Gombak dan Kuala Lumpur yang mana dianggarkan kira-kira 500,000 pengguna bakal terjejas,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.


“Atas sebab itu, ERP diaktifkan untuk SYABAS memantau dan mengurus kawasan terbabit. Kita mengambil tindakan segera serta langkah sewajarnya untuk mempercepatkan kerja pembaikan yang sudah dimulakan hari ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.


Hadir sama, Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat (SYABAS) Abdul Halem Mat Som. Yusof berkata, bagi mengurangkan impak di kawasan terjejas, SYABAS turut menyedia 25 lori tangki yang digerakkan ke lokasi berkenaan jika memerlukan, manakala 50 tangki air statik diletakkan secara berperingkat sebagai bantuan bekalan tambahan.

 “Pihak kami mempunyai sejumlah 42 lori tangki dan 525 tangki air statik, namun kita gerakkan ia ikut keperluan dulu bagi meringankan kesulitan pengguna.


“Bagaimanapun, pengguna dinasihat menggunakan air secara berhemah dan mengelak daripada pembaziran sepanjang tempoh gangguan,” katanya.

Pengguna yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol, 1-800-88-5252 atau laman web www.syabas.com.my. - MyMetro


2 comments:

  1. Ujian kecil Allah berikan tapi melibatkan ribuan rakyat merasa tempiasnya...

    ReplyDelete
  2. Kaw umah sy kn jg...tp syukur ada tangki...tp kn berjimat la...

    ReplyDelete