Asia berjaga-jaga penularan selesema H7N9

 
BEIJING - Pihak berkuasa di beberapa negara Asia mengetatkan saringan terhadap pelancong dari China dalam usaha mengekang penyebaran virus selesema burung H7N9 di negara masing-masing.

Sehingga kini, H7N9 telah menjangkiti 109 orang di China sejak virus itu mula dikesan pada Mac lalu dengan 23 orang maut.

Terkini, penyakit maut itu telah menjangkiti seorang warga Taiwan.

Susulan perkembangan tersebut, pihak berkuasa Taiwan memberitahu, mereka akan melakukan ujian kesihatan ke atas pelancong di pintu masuk lapangan terbang yang menunjukkan simptom seperti panas badan atau demam.

Pihak berkuasa Vietnam mula menyaring suhu badan penumpang di lapangan terbang negara itu manakala kerajaan Jepun akan membenarkan pihak berkuasa lapangan terbang dan pelabuhan memeriksa suhu badan pelawat dari China bermula bulan depan.

Di Thailand, Menteri Kesihatan Pradit Sintawanarong berkata, negara itu perlu meningkatkan langkah berjaga-jaga dengan pelan menangani wabak itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Yingluck Shinawatra tidak lama lagi.

"Berdasarkan pemerhatian kami, terdapat risiko virus H7N9 merebak ke Thailand," kata Sintawanarong.

Dalam pada itu, di Singapura, institusi-institusi kesihatan di pulau tersebut kini diletakkan dalam keadaan siapsiaga berhubung penularan wabak H7N9.

Langkah tersebut dilaksanakan sehari selepas seorang pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan, virus H7N9 merupakan virus selesema burung yang paling berisiko membawa maut kepada manusia.

Setakat ini, jangkitan virus berbahaya itu dilaporkan berpunca daripada unggas yang sakit manakala saintis-saintis semakin hampir untuk mengesahkan sama ada H7N9 turut merebak daripada manusia kepada manusia. - Reuters

1 comment: