Gara-gara hutang, maruah tergadai di tangan ah long


Seorang wanita berusia 23 tahun terpaksa menyerahkan maruah diri bagi menggantikan bunga pinjaman wang yang gagal dibayar kepada along dalam satu kejadian kira-kira jam 2.30 petang, Jumaat lalu.

Semuanya berlaku selepas bekas majikannya yang menjadi perantara dengan along berkenaan sanggup mengarahkan dua lelaki iaitu konco along berkenaan merogol bekas pekerjanya itu disebabkan gadis terbabit gagal berbuat demikian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan mengenainya kini sedang dijalankan.

Harian metro difahamkan, detik hitam dalam hidup wanita itu berlaku di sebuah hotel di Jalan Persiaran Raja Muda Musa, di sini, kira-kira jam 2.30 petang.

Menceritakan semula kejadian, sumber berkata, mangsa yang berusia 23 tahun menerima panggilan daripada bekas majikannya memberitahu terdapat kerja kosong di premisnya di Pekan Klang di mana tempat dia bekerja sebelum ini.

Bagaimanapun, niatnya untuk mencari pekerjaan bertukar tragedi apabila dia dibawa ke sebuah hotel sebelum dirogol dua lelaki dipercayai pemungut bayaran bunga duit along terbabit.

Difahamkan, mangsa hanya membuat pinjaman sebanyak RM2,000 daripada along terbabit, tetapi tidak mampu untuk membayar bunga hutang berkenaan selepas dibuang kerja hanya kerana mengambil cuti selama sehari.

“Selepas dihubungi dan dipanggil ke premis itu, mangsa dipertemukan dengan dua lelaki terbabit sebelum dimarah dan dimaki hamun dengan perkataan kasar kerana dia tidak membayar duit bunga pinjaman.

“Suspek juga mengugut akan menjual mangsa kepada individu lain sekiranya gagal membuat bayaran berkenaan sebelum membawa mangsa menaiki kereta Proton Satria berwarna kelabu untuk berjumpa dengan majikan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa sekali lagi ditipu suspek terbabit apabila dia dibawa ke sebuah restoran di Bukit Tinggi, di sini sebelum diugut buat kali kedua oleh salah seorang daripada mereka.

“Suspek mengarahkan mangsa membayar semua wang yang dipinjam. Sekiranya gagal, dia akan dipaksa bekerja di tempat yang diarahkan suspek sebagai cagaran kepada hutang berkenaan atau diarahkan mengadakan hubungan seks dengan mereka.

“Mangsa yang ketakutan terus merayu kepada agar diberikan masa untuk melunaskan hutang berkenaan, namun rayuan itu tidak diendahkan sebelum membawanya ke hotel,” katanya.

Bimbang dirinya diperlakukan lebih buruk, katanya, mangsa hanya menurut perintah untuk mengikuti mereka pergi ke hotel berkenaan dan di sana dia dirogol sebelum suspek menghantarnya pulang ke rumah.

Mangsa yang trauma kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Klang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. - MyMetro


1 comment:

  1. sy takut bila kwn dah start berhutang dgn byknya. jalan terbaik adalah jauhkan diri darinya..

    ReplyDelete