Rumah Iron Man jadi inspirasi sepasang suami isteri


Sepasang suami isteri menjadikan rumah canggih watak utama Iron Man, Tony Stark sebagai inspirasi kediaman mewah mereka selepas memenangi loteri bernilai £45 juta (RM209.3 juta) tahun lalu.

Dengan wang sebanyak itu, pasangan Matt dan Cassey Topham tidak teragak-agak membelanjakan £5 juta (RM23.3 juta) hanya untuk membina rumah futuristik mereka.


Rumah itu - dinamakan Serenity - bakal mempunyai ruang garaj yang terselindung di sebalik air terjun, taman botani, kolam renang dan pawagam.

Kediaman yang dilengkapi panel solar itu direka cipta firma seni bina terkenal di London, Baca Architects.


Bagaimanapun, sebelum boleh membina Serenity, pasangan terbabit perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak kerajaan. Selepas itu memenangi loteri berkenaan tahun lalu, pasangan Topham menyenaraikan keinginan yang mesti ada di rumah idaman mereka, termasuk “garaj yang luas” dan “kolam renang bergua.” Pasangan Topham mengemukakan pelan itu kepada kerajaan tempatan di Nottinghamshire semalam. 

Apabila siap nanti, Serenity akan menjadi 16 kali ganda lebih luas berbanding kediaman biasa di Britain dan kosnya 55 kali ganda lebih mahal berbanding rumah mereka ketika ini di Stapleford.


Pasangan Topham membeli sebuah rumah berkembar pada harga £250,000 (RM1.2 juta) sejurus selepas memenangi loteri, tetapi memberitahu pereka supaya membina ruang khas bagi membolehkan mereka mengelak daripada perhatian yang tidak diingini. 

Bercakap mengenai Serenity sebelum berlepas untuk bercuti di Amerika Syarikat, Matt berkata, mereka juga mewajibkan rumah itu dibina dengan lima bilik tidur.

“Kami juga menghabiskan banyak masa untuk berbincang dengan arkitek mengenai bilik yang akan digunakan,” katanya.


Apa yang penting, kata Matt, mereka tidak mahu hidup dalam rumah kaca.

“Kami mengutamakan reka bentuk kontemporari dan fleksibel untuk kegunaan sekeluarga,” katanya. - MyMetro



No comments:

Post a Comment