Terdapat 425,504 jawatan kosong dalam sektor swasta di seluruh negara


SEGAMAT - Sebanyak 425,504 kekosongan jawatan meliputi bidang pengurusan, profesional dan pekerja asas terdapat dalam sektor swasta yang menawarkan gaji antara RM900 hingga RM3,000 sebulan, di seluruh negara ketika ini.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, Mohd. Asri Abdul Wahab berkata daripada jumlah itu, sebanyak 311,168 kekosongan adalah dalam bidang pekerja asas, operator (35,109), perkhidmatan dan jualan (25,763), tenaga profesional (11,387) dan pengurusan (2,908).

"Selebihnya adalah terdiri daripada bidang perkeranian, pekerja mahir pertanian, perhutanan, perikanan dan pertukangan,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran program 1Malaysia Support For Housewive (1MS4HW) dan Karnival Azam Kerja Malaysia di Dataran Segamat di sini semalam.

Program yang dihadiri kira-kira 2,000 orang itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Mohd Asri menjelaskan, di Johor sahaja terdapat 83,666 kekosongan yang belum diisi.

Mengenai program 1MS4HW, Mohd. Asri berkata sehingga 10 April lalu sebanyak 5,737 orang wanita berkahwin menyertai program tersebut yang menyasarkan 40,000 akan memperoleh pekerjaan melalui program tersebut, sepanjang tahun ini.

Katanya, sempena program itu, sebanyak 32 syarikat swasta di daerah ini menawarkan sejumlah 3,243 kekosongan jawatan dalam pelbagai kategori yang didaftarkan ke Jabatan Tenaga Kerja.

Dari jumlah tersebut katanya, 647 kekosongan adalah pekerja siswazah dan 2,596 orang bukan siswazah yang menawarkan gaji antara RM900 hingga RM3,000 sebulan.

Beliau menasihatkan pencari kerja di negara ini supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dan bersedia menerima sebarang tawaran kerja. - Bernama

1 comment: