Abang mengamuk adik tidak beri wang untuk berjudi


KUALA TERENGGANU - Seorang wanita tidak menyangka keputusannya berkeras enggan memberi wang dengan harapan abangnya berubah tidak berjudi menyebabkan suspek naik hantu.

Menurut sumber, kejadian amuk itu berlaku di sebuah rumah di Kampung Telari, Manir, di sini, Jumaat lalu.
Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, suspek berusia 31 tahun mengamuk dengan bertindak merosakkan cermin dan perabot di rumahnya selepas berang mangsa berusia 28 tahun tidak mengendahkan permintaannya mendapatkan sejumlah wang.

“Sebelum kejadian, mangsa berada di rumah bersama dua ahli keluarganya iaitu kakaknya berusia 40-an dan anak saudaranya berusia 20-an. Dia sedang tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran suspek dalam keadaan marah-marah.

“Suspek dikatakan sebelum ini ada meminta wang daripada mangsa dipercayai untuk bermain judi tetapi mangsa tidak mengendahkannya menyebabkan suspek naik angin sebelum merosakkan cermin dan beberapa perabot yang ada di rumah,” katanya, semalam.

Sumber berkata, melihatkan keadaan suspek seperti dirasuk itu, mangsa segera menghubungi polis kerana bimbang keselamatannya dan dua lagi ahli keluarga lain.

Katanya, pada masa sama, sepasukan polis yang membuat rondaan cegah jenayah di sekitar Manir, di sini, menerima maklumat kira-kira jam 4.45 pagi, sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. - Sinar



1 comment: