Felixia Yeap sah mengucap syahadah di masjid TTDI

 
KUALA LUMPUR - Model dan pelakon, Felixia Yeap (gambar), 28, mengesahkan dia telah memeluk agama Islam dengan mengucap syahadah di sini semalam.

Menurutnya, dia memilih tarikh 3 Julai untuk mengucapkan syahadah kerana tarikh itu merupakan tarikh kelahirannya.

Dia mengucapkan syahadah itu di sebuah masjid di Taman Tun Dr. Ismail di sini pukul 6.30 petang.

"Hari ini, bukan saja hari lahir saya tetapi juga hari kelahiran 'semula' saya. Hari saya 'kembali' akhirnya, selepas 28 tahun mencari jalan pulang. Hari ini, hari bersejarah dalam hidup saya kerana akan menjadi seorang Islam secara rasmi," tulisnya di dalam blog rasminya felixiayeap.blogspot.com.

Meskipun telah memeluk Islam, Felixia memberitahu, dia akan kekal menggunakan nama Cina dan hanya menambah nama Islam yang diperoleh daripada mimpi di hadapan nama asalnya. Nama Islam yang diberitahu pada media sebelum ini ialah Rania.

"Saya masih berbangsa Cina dan akan berkeras mengekalkan nama Cina yang diberi ibu saya. Nama Cina saya membawa maksud, ketenangan, keanggunan," tulisnya lagi.

Sementara itu, Felixia dalam kiriman aplikasi WhatsApp kepada wartawan Kosmo! pula berkata, dia enggan berkongsi detik bersejarah itu bersama pihak media kerana menyifatkan proses mengucap syahadah itu adalah urusannya dengan Tuhan.

"Ini hal saya dengan Tuhan, kenapa perlu masuk berita," katanya.

Model yang pernah muncul dalam majalah Alia itu menjadi popular apabila dia mengambil keputusan untuk memakai hijab sekitar Januari lalu walaupun dia belum memeluk Islam.

Sejak popular, Felixia melebarkan kerjaya seni dalam bidang lakonan dan pernah berlakon dalam dua drama bersiri iaitu Nikah Kita Bercinta dan Sarafina.

Sumber: kosmo!

2 comments:

  1. Meraung-raung syaitan sebaik syahadah diucap hamba Allah bernama Rania ini Redz..

    Syukur alhamdulillah..

    ReplyDelete