Bahana ubah jantina

BERITA yang diterima pagi itu mengejutkan Azlan. Dia tak sangka kawan baiknya pergi menghadap Ilahi seawal usianya 30 tahun. Tiada maklumat terperinci yang diterima. Yang dia tahu, Hisham terjatuh di dalam bilik air ketika mahu mandi pagi tadi. Kepalanya terhentak ke dinding bilik air lalu dia rebah tidak sedarkan diri. Kawan serumahnya, Radzi bergegas membawanya ke hospital.

Innalillahiwainnailaihi rojiuun. Hanya itu yang terucap oleh Radzi apabila doktor yang bertugas di Unit Kecemasan memberitahu, Hisham telah tiada. Azlan bergegas ke hospital. Mahu memastikan apakah berita yang mengejutkan itu benar atau sebaliknya.

Setibanya di situ, keluarga Hisham telah berkumpul. Semuanya kelihatan sugul, hiba, sedih, tak keruan, bersatu dalam emosi yang berkecamuk. Berita kematian Hisham benar-benar mengejutkan banyak pihak.

Terdiam dan kelu lidah tatkala doktor yang bertugas memanggil waris si mati. Apa tidaknya, nama di pengenalan tertera nama Mohd. Hisham bin Kamaruddin. Tapi…kenapa jantinanya tertulis yang sebaliknya?

“Ya Allah, apa yang kau dah buat Hisham," rintihan hiba akhirnya terkeluar daripada mulut si ibu yang sama sekali tidak menyangka, anaknya seberani itu nekad mengubah status diri. Azlan terpaku. Dia tak tahu pula, keputusan nekad yang diambil oleh Hisham dibuat tanpa pengetahuan keluarganya.

Azlan sememangnya tahu, kawannya itu memang berhasrat membuat pembedahan jantina tersebut. Malah pernah mengajaknya melakukan perkara yang sama. Namun Azlan menolak kerana belum bersedia. Tetapi untuk tidak mengecewakan hasrat kawannya itu, dia bersetuju untuk menemani Hisham.

Nun di sebuah negara jiran, pembedahan selamat dijalani. Azlan menemani kawan baiknya sehingga Hisham sedar dan dibenarkan keluar dari hospital.

“Ya Allah, kenapa begitu cepat Hisham pergi? Tak sampai sebulan pun pembedahan tersebut dibuat, Hisham sudah mati. Ya Allah, kenapa aku tidak melarangnya ketika itu? Kenapa dengan aku?," satu demi satu persoalan terus mengasak minda Azlan.

Azlan seakan insaf seketika. Namun dalam masa yang sama bersyukur kerana tidak mengikuti pelawaan Hisham. “Kalau aku pun buat pembedahan itu, apakah aku juga akan ikut jejak langkah Hisham. Menghadap Tuhan dalam keadaan sedemikian? Ya Allah, aku terlalu jauh daripada agama-Mu," sesal Azlan bertalu-talu datang menghimpit perasaan resahnya.

Dari kejauhan Azlan memerhati betapa ibu Hisham tidak dapat menerima kenyataan anaknya berubah jantina. Sekejap pengsan dan kemudian sedar semula. Begitulah keadaan ibu Hisham. Tersentuh hati Azlan melihat situasi tersebut. “Kalau aku melakukan perkara yang sama, apakah ibuku juga akan jadi sedemikian rupa?," tiba-tiba Azlan teringat ibunya di kampung. Betapa dia tidak mahu apa yang berlaku kepada ibu Hisham, juga berlaku kepada ibunya.

Azlan nekad. Dia mahu tinggalkan dunia ‘nyah’ yang selama ini menghanyutkannya. Tetapi bagaimana? Apakah Tuhan boleh memaafkannya? Apatah lagi bersubahat dengan Hisham dengan tidak melarangnya ketika itu. Bahkan menggalakkannya pula.

Satu demi satu segala kegiatannya bersama-sama Hisham terbayang-bayang di mata. Andailah Tuhan mengambilku waktu dan saat ini… Azlan terpempan. Tidak tahu bagaimana mahu dia berjumpa Tuhan dalam keadaan sedemikian. Fikirannya celaru. Bagaimana harus dia mulakan. Kematian Hisham membuatkan Azlan diselubungi rasa takut. Selama ini dia lupa tentang kematian!

Sumber

2 comments: