Penduduk gempar 100 kubur digali

 Penduduk menunjukkan sebahagian daripada hampir 100 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawi-Jawi digali dan diambil tanahnya.

Bentong: Penduduk Kampung Jawi-Jawi, Pelangai dekat sini gempar apabila kira-kira 100 kubur di tanah perkuburan Islam di sini dikorek, dipercayai untuk kegiatan pemujaan atau ajaran sesat.

Kejadian disedari penduduk kampung lewat petang kelmarin dan membuat laporan di Pondok Polis Kampung Jawi-Jawi, pagi semalam.
Seorang penduduk, Radin Noraddin, 48, berkata, kejadian dipercayai berlaku empat hari lalu dan cubaan penduduk kampung memerangkap individu terbabit gagal.


Dikorek di tengah kubur

“Semua kubur dikorek di tempat yang sama iaitu di tengah-tengah antara dua batu nisan. Mereka mengorek hanya 7.6 sentimeter (cm) hingga 12.7 cm dipercayai untuk mengambil dua atau tiga kepal tanah.

“Saya tidak pasti motif mereka melakukan kegiatan itu... tetapi, saya terkilan kerana batu nisan dan binaan lain turut dicabut dan dicampak.
“Kami percaya kejadian dilakukan pada waktu malam atau awal pagi oleh sekumpulan orang dengan menggunakan cangkul.

“Tiada barang lain yang mencurigakan dijumpai melainkan cangkul dan spanar yang dipercayai digunakan untuk mengorek,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Khalil Abdul Talib, 53, berkata, kubur arwah ibunya paling teruk digali kumpulan berkenaan.

Katanya, ini adalah kejadian kedua menimpa kubur arwah ibunya dan tahun lalu kubur arwah ibunya juga mengalami kejadian sama.

“Sebelum ini pun pernah berlaku tetapi hanya satu kubur saja yang dikorek.


Tak pasti tujuan

“Saya pun tidak pasti apa motif mereka korek dan apa yang mereka cari. Tetapi, apa yang dilakukan ini memang teruk,” katanya.

Abdul Khalil berkata, perkara itu mungkin dilakukan pengamal ajaran sesat berikutan mereka mengambil tanah di tempat sama di setiap kubur terbabit.

Bagi Abdul Koris Ishar, 52, kebanyakan kubur yang digali itu terletak berdekatan dengan pokok besar dan busut menyebabkan penduduk mengesyaki perbuatan itu adalah untuk pemujaan.

Beliau berharap pihak berwajib dapat memantau perkara ini sekali gus membantu menyelesaikan masalah kerosakan yang dialami waris.

Difahamkan, Tanah Perkuburan Kampung Jawi-Jawi ini adalah perkuburan kedua tertua di Pelangai dan pusara yang paling lama didapati daripada batu nisan adalah pada tahun 1925.

Jurucakap Jabatan Agama Islam Pahang yang dihubungi untuk mendapatkan komen berkata, akan melawat kawasan itu esok.

Sumber

1 comment: