Elak dicekup, remaja terjun tingkat 4 tinggal kekasih

Penguatkuasa Jaim membuat pemeriksaan terhadap remaja perempuan berusia 18 tahun ini di sebuah hotel, semalam

BANDA HILIR - Seorang penuntut institut pengajian tinggi (IPT) sanggup bergadai nyawa, terjun dari tingkat empat sebuah hotel di Melaka Raya, di sini, meninggalkan teman wanitanya dalam bilik bagi mengelak dicekup penguatkuasa dalam serbuan, semalam.

Remaja lelaki berusia 18 tahun itu, bagaimanapun, berjaya ditahan selepas penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) membuat tinjauan semula di hotel sama sembilan jam kemudian.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, pihaknya yang menyertai operasi bersepadu diketuai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu membuat serbuan di hotel berkenaan kira-kira jam 1 pagi.

“Bilik yang diduduki pasangan remaja berusia 18 tahun itu hanya dibuka setengah jam selepas diarah berbuat demikian dan mendapati gadis yang merupakan penuntut IPT luar Melaka berada di dalam bilik itu.

“Bagaimanapun, dalam pemeriksaan menyeluruh di hotel terbabit, kami menjumpai sebuah beg mengandungi telefon bimbit, kunci kereta dan baju milik lelaki tersebut di tingkat dua hotel berkenaan dipercayai dicampak remaja perempuan itu,” katanya.

Menurut Rahimin, remaja lelaki itu berjaya melarikan diri dalam tempoh setengah jam dipercayai mengikut tingkap bilik lalu terjun ke tingkat dua hotel berkenaan.

“Lelaki (berasal dari Johor) itu dan kekasihnya (Selangor) mendakwa berkenalan di sekolah menengah sama di negeri ini sebelum masing-masing melanjutkan pelajaran di Perak dan Pahang.

“Kedua-dua mereka ditahan di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara 24 bulan atau keduanya sekali,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment