Cerita mangsa tsunami Kota Kuala Muda 9 tahun yang lalu

Yusoff(kiri) menceritakan bagaimana dia berpaut pada pokok untuk selamatkan diri dari arus ombak.Azmi(kanan) menunjukkan gelombang besar yang dilihat di permukaan laut sebelum menghempas daratan.

TANGGAL 26 Disember 2004 pasti menjadi ingatan kekal kepada penduduk di sekitar Kota Kuala Muda, Kedah berikutan gelombang tsunami yang meranapkan 10 kampung, sembilan tahun lalu.

Ombak besar yang tercetus akibat gempa bumi kuat di perairan Sumatera, Indonesia itu turut melanda Thailand, India, Sri Lanka, Maldives, Myammar dan meragut ribuan nyawa.

Di Malaysia, selain Kota Kuala Muda yang terjejas teruk, pesisiran pantai Pulau Pinang, Perlis dan Selangor turut merasai gelombang tsunami dengan angka kematian dianggarkan 45 orang.

Tsunami yang mencapai ketinggian enam meter itu menyusuli gempa bumi berskala 8.9 skala Richter, dikatakan paling kuat dalam tempoh 40 tahun.

Nampak air putih di laut

Menceritakan kembali detik hitam berkenaan, penduduk Kampung Masjid, Yusoff Yahya, 72, berkata, sekurang-kurangnya 11 orang maut di Kota Kuala Muda yang kebanyakan dari Kampung Kepala Jalan.

“Semasa itu, saya baru selesai mandi dan persiapkan diri untuk ke majlis perkahwinan tidak jauh dari rumah lebih kurang jam 1 tengah hari.

“Sekali pandang ternampak gelombang air putih dari laut yang tingginya melebihi pokok kelapa,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ramai yang kehairanan menyebabkan kebanyakan penduduk meluru ke tepi laut untuk menyaksikan dengan lebih dekat fenomena yang berlaku.

“Dalam sekelip mata, ombak besar yang membawa limpahan air sudah sampai ke kaki menyebabkan penduduk lari lintang pukang menyelamatkan diri, ada yang menjerit, ada yang menangis dan tidak kurang yang mendukung anak atau bayi masing-masing,” katanya.

Lebih kurang 1,000 rumah membabitkan 5,000 penduduk di perkampungan nelayan itu ranap manakala sebahagian lagi rosak akibat dinding hilang, bumbung tercabut dan harta benda seperti kereta, motosikal dan perkakasan rumah kesemuanya hanyut ataupun rosak diseliputi lumpur.

“Hanya sempat berlari sehingga jarak 50 meter, berlaku pula gelombang kedua yang lebih dahsyat apabila gelombang air yang bergulung di laut menghempap rumah, kedai, bangunan serta harta benda yang ada.

“Belum sempat mencari jalan keluar, motosikal yang ditarik pada mulanya terus dicampak kerana tak sempat lagi mahu menghidupkannya, saya dan dua lagi saudara terus berpaut pada sebatang pokok mempelam kerana tidak mahu terus dihanyutkan arus deras,” katanya.

Yusoff berkata, arus deras turut membawa sampah termasuk ranting pokok, kenderaan, kayu, plastik, perabot dan pelbagai harta benda.

Cucunya, Nurul Najwa Ridzuan, 11, ketika itu baru berusia dua tahun dikatakan dibawa ayahnya berjalan kaki sehingga ke Bukit Meriam bagi menyelamatkan diri.

Dalam keadaan kelam kabut, ada juga penduduk yang tidak menyedari hilang kain sarung yang dipakai akibat dipukul ombak.

Bentara kenduri hilang

Sementara itu, isterinya, Hamidah Hasan, 68, berkata, pengunjung yang datang ke majlis perkahwinan hairan apabila tiada bentara (pelayan) yang bertugas kerana kesemuanya berlari ke arah tepi laut untuk menyaksikan gelombang besar.

“Dalam tempoh beberapa saat, banjir besar memenuhi seluruh kampung, termasuk majlis perkahwinan yang tergendala. Habis semua lauk pauk dimasuki air, termasuk lauk gulai batang pisang yang menjadi hidangan istimewa pada hari terbabit,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan penduduk masih trauma dengan kejadian berkenaan yang memusnahkan perkampungan itu dan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk pulih dan kembali ke rumah masing-masing untuk operasi pembersihan.

Seorang lagi penduduk, Azmi Marzuki, 48, berkata, semasa gelombang air besar melanda kampungnya, dia memberi laluan kepada 10 penduduk kampung untuk menyelamatkan diri ke tingkat atas rumahnya.

“Sebelum menyedari ia tsunami, saya bersama penduduk sempat ke tepi laut menyaksikan kejadian gelombang tinggi berwarna putih yang belum pernah kami lihat sebelum ini.

“Teringat peristiwa seorang penduduk menyergah dengan perkataan tunggu apa lagi, nak mati ka, menyebabkan semua bertempiaran lari naik ke tingkat atas rumah,” katanya.

Azmi berkata, seorang mangsa yang dipercayai bernama Tok Embun, 70-an, yang sedang bersembahyang (memakai telekung) dikatakan lemas, antara yang terkorban.

“Selepas beberapa hari, rumah kami dipenuhi ratusan bangkai ikan yang hanyut akibat gegaran terbabit,” katanya.

Pulih semangat penduduk

Azmi berkata, dalam tempoh seminggu selepas kejadian, ada khabar angin mengatakan tsunami akan berlaku lagi menyebabkan penduduk membawa keluarga jauh dari pantai termasuk ke rumah saudara atau ke luar daerah akibat trauma.

Bagaimanapun, menurutnya, pelbagai inisiatif kerajaan dilakukan setelah sembilan tahun kejadian itu berlaku membantu memulihkan semangat penduduk yang terjejas.

“Kini terdapat tembok batu yang dibina bagi mengurangkan kesan sekiranya berlaku gelombang besar, selain itu, sistem siren dipasang dan  latihan tsunami juga dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Walaupun kejadian ini berlaku sembilan tahun lalu, namun penduduk Kota Kuala Muda masih dalam keadaan berjaga-jaga, sentiasa memantau keadaan bergelora selain mendapatkan maklumat dari agensi berkaitan dalam aspek keselamatan. Ia adalah sebahagian daripada lipatan sejarah yang pernah kami dilalui dan akan kekal di ingatan sampai bila-bila,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

10 comments:

  1. 9 thn da berlaku tp mengambil ms mungkin lbh 90 thn utk melupakannya

    ReplyDelete
  2. ada sesapa tau tak mcm mana nk contact pakcik yusoff ni ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. pakai fon la

      Delete
    2. tu pon x leh pikiaq kaa siall!!

      Delete
    3. pakcik yusoof ni ada bukak kedai dekat kuala muda,sebelum jumpa tugu perahu ada sebuah kedai bernama kedai paksu kalau x silap saya..kedai dia ada jual chicken chop and burger ...

      Delete
    4. ya fazliana? yusoff tu atok saya. ada apa yg boleh saya bantu?

      Delete
    5. ADA ORANG BLH BANTU SAY JUMPA PAK CIK YUSSOF..HARI INI

      Delete
    6. ADA ORANG BLH BANTU SAY JUMPA PAK CIK YUSSOF..HARI INI

      Delete
  3. saya nak interview dia untuk projek saya

    ReplyDelete
  4. saya nak interview dia untuk projek saya

    ReplyDelete