Piala Dunia: Brazil layak suku akhir tewaskan Chile selepas sepakan penalti

BARISAN pemain Brazil menunggu sebelum sepakan penalti dimulakan pada perlawanan pusingan kedua 16 pasukan antara Brazil dan Chile di Stadium Mineirao di Belo Horizonte, awal pagi ini. Brazil menang 3-2 menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 1-1. - Foto AP

BRAZIL 1
(David Luiz, m-18)

CHILE 1(Alexis Sanchez, m-32)

(Brazil layak sepakan penalti 3-2 selepas masa tambahan)


BELO HORIZONTE: Brazil menewaskan Chile 3-2 menerusi sepakan penalti untuk layak ke suku akhir Piala Dunia dalam satu perlawanan penuh dramatik di Stadium Mineirao, di sini, sebentar tadi.

Pemain Chile, Gonzalo Jara terlepas sepakan penting selepas Neymar menyempurnakan untuk Brazil.
Brazil mendahului pada minit ke-18 selepas Thiago Silva menanduk bola Neymar hasil sepakan sudut sebelum disudahkan baik oleh David Luiz walau pun ulang tayang menunjukkan pemain pertahanan Chile, Jara membuat sentuhan terakhir.

Chile kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi Alexis Sanchez yang menewaskan penjaga gol Brazil, Julio Cesar dari jarak dekat.

Brazil turut kecewa selepas gol Hulk dibatalkan selepas didakwa dia mengawal bola dengan lengan.

Tuan tumah mendominasi babak kedua dan masa tambahan namun Chile nyaris tampil menjaringkan gol kemenangan apabila rembatan padu Mauricio Pinilla terkena palang pada minit-minit terakhir permainan.

Brazil yang menewaskan Chile 3-0 pada peringkat sama Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan akan berdepan Colombia atau Uruguay dalam suku akhir. - Reuters

Sumber

No comments:

Post a Comment