Kakak saman adik asyik minta duit

RIYADH: Seorang ahli perniagaan wanita berusia 50 tahun menyaman adik lelakinya, 24, kerana dakwaan meminta sejumlah besar wang sebagai balasan membenarkan kakaknya keluar berjalan dan menyelesaikan kertas kerja di jabatan kerajaan.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Jeddah, wanita berkenaan mendakwa beliau membesarkan adik lelakinya selepas kematian bapa mereka. “Apabila mencapai usia membolehkan beliau bertindak sebagai penjaga, lelaki berkenaan mula menuntut wang untuk pelbagai aktiviti,” lapor media tempatan.

Sumber berkata, lelaki itu didakwa memaksa kakaknya membayar SR10,000 (RM8,581) untuk membenarkan beliau keluar berjalan, SR5,000 (RM4,290) jika kehadirannya diperlukan di mana-mana jabatan perkhidmatan dan sejumlah besar wang bagi membenarkan kakaknya berkahwin.

Wanita berkenaan tidak berkahwin dengan keadaan itu.

Kemuka bukti

Peguam wanita itu, Baian Zahran, berkata anak guamnya perlu membuktikan adik lelaki beliau bersalah memeras ugut jika mahu mahkamah membenarkan beliau menjadi penjaga diri sendiri.

Dalam kes sama, wanita berusia 30 tahun mendapatkan bantuan perundangan selepas mendapati bapa saudaranya, yang menjadi penjaga sejak ibu bapa meninggal dunia dalam kemalangan di Jeddah ketika beliau masih kecil, membuat helah untuk memastikan anak saudaranya tidak berkahwin.

Menurut Al Arabiya.net, beberapa lelaki pernah meminang wanita berkenaan tetapi bapa saudaranya menolak mereka semua.

Apabila ditanya alasan beliau menolak pinangan itu, lelaki berkenaan berkata tidak akan mengahwinkan anak saudaranya kecuali beliau dibayar hampir setengah juta riyal, yang ditinggalkan ibu bapanya.

Menurut peguamnya, wanita itu akhirnya menurut kehendak bapa saudaranya yang segera menguruskan perkahwinannya. –AGENSI

Sumber

No comments:

Post a Comment