AC Mizal hidupkan semula 4U2C


Bagi generasi yang membesar pada zaman 1990-an pasti masih mengingati kumpulan rap tanah air, 4U2C yang popular dengan lagu Fiona. Ditubuhkan pada 1992, kumpulan itu dianggotai oleh Mizal Zaini atau kini dikenali sebagai Datuk AC Mizal bersama Azam, Joe, Adik, Lan, Yanz dan Rin.

Selepas lebih 17 tahun berpecah, AC bakal menghidupkan semula 4U2C dengan mencari enam anggota kumpulan baru untuk menghasilkan single baru mereka.

Menurut AC, projek khas itu bagi mengimbau kembali zaman kegemilangan kumpulan berkenaan sebelum berpecah selain sebagai hadiah kepada peminat.

“Projek ini cuma untuk sekali saja dan ditujukan khas bagi anggota kumpulan lama. Idea projek ini datang secara tiba-tiba tanpa dirancang ketika saya terkenang masa lalu bersama 4U2C.


“Tidak dinafikan, selepas saya membuat keputusan untuk membubarkan 4U2C itu, saya sukar melupakan kenangan bersama semua anggota kumpulan berkenaan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.


Kini menjadi pengacara terkenal, AC yang juga pelakon memberitahu dia sudah memilih empat calon terbaik sebagai anggota baru kumpulan itu dan masih mencari dua lagi.

“Semua anggota baru ini adalah peminat 4U2C yang dipilih berdasarkan penilaian bakat menerusi klip video nyanyian serta tarian mereka yang dihantar ke laman sosial Instagram dan Twitter saya.

“Selepas memilih semua anggota baru, saya akan berjumpa dengan mereka dalam masa terdekat untuk melihat kemampuan mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, rakaman lagu bersama anggota baru akan dilakukan dalam masa terdekat kerana mahu single itu dikeluarkan sebelum Ramadan akan datang.

Mengenai pencapaian baru dalam kerjayanya, AC meluahkan perasaan bersyukur dan terharu dinobatkan sebagai Pengacara TV Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular, Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) buat julung kalinya.

Katanya, dia sememangnya terkejut dan menyifatkan kemenangannya itu di luar jangkaan kerana adalah anugerah pertama selepas hampir 22 tahun bergelar artis.

“Kejayaan ini bukan milik saya seorang saja, tetapi juga isteri yang menjadi tulang belakang selama ini. Terima kasih juga kepada peminat yang tidak pernah putus asa memberi sokongan,” katanya terharu.

Sumber: myMetro

1 comment:

  1. Fionaaaa! fiona pun mesti dah beranak pinak kan!

    ReplyDelete