Zulkarnain (tengah) memegang nanas pelik yang ditemui Abdol (kanan).
BAGAN SERAI - Penemuan cantuman 150 biji nanas menggemparkan penduduk Kampung Sungai Gedong, Selinsing di sini, sejak tiga hari lalu.
Peniaga buah-buahan, Abdol Hussin,63, berkata, buah nanas unik itu ditemuinya ketika menjalankan kerja pembersihan dusunnya di Sungai Pinang.
"Pada mulanya saya sangka ia longgokan nanas, tapi setelah diteliti ia cantuman 150 kecil nanas.
"Nanas dengan rupa menakjubkan itu didapati berat melebihi tiga kilogram," katanya.
Menurutnya, ia pengalaman pertama sejak lebih 35 tahun menjual pelbagai jenis buah-buahan.
“Kebiasaannya hanya sebiji nanas bagi setiap pokok, tapi kali ini lain dari kebiasaan dan ia bukti kekuasaan ALLAH.
"Sejak dua hari lalu, penduduk tidak putus-putus datang ke gerai ini untuk melihat sendiri nanas ini," katanya.
Abdol berkata, di sebalik penemuan buah unik itu, dia berhajat menjualnya pada harga bersesuaian memandangkan perniagaan menjual buah-buahan menjadi sumber pendapatan utamanya.
“Saya hanya akan menjual nanas unik ini kepada pembeli yang benar-benar menghargainya dan menawarkan harga berpatutan.
“Selama ini, kita biasa mendengar penemuan nanas berbentuk kipas tangan, namun nanas yang saya temui ini agak unik kerana ianya terdiri daripada cantuman 150 buah berasingan dan bersaiz sangat besar," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Sekretariat Rakyat Setia Perak (Setia), Zulkarnain Ismail berkata, penemuan buah itu diketahui secara kebetulan ketika pulang ke kampung halaman di Sungai Gedong.
“Nanas ini bukti kebesaran dan keagungan Allah SWT dalam mencipta makhluk dalam bentuk dikehendaki-Nya.
“Kita sebagai hamba-Nya perlu menginsafi kejadian aneh ini dan menjadikan peristiwa itu sebagai pendorong untuk kita lebih taat dalam mendekati Allah SWT,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
wow
ReplyDelete