Warga emas hampir maut digonggong beruang di Marang

ASMANI terlantar di wad akibat diserang beruang.

Kuala Terengganu: “Saya meronta sambil menjerit kesakitan namun beruang itu terus menggonggong kepala dan leher saya sebelum diseretnya,” kata Asmani Yahya, 60, yang diserang beruang di Kampung Pasir Puteh, Marang, semalam.

Sebelum kejadian jam 8.30 pagi itu, wanita berkenaan bersama suami, Mamat Othman, 63, ke ladang untuk menoreh getah.


Ketika sibuk menoreh, Asmani tidak sedar seekor beruang berada di belakangnya yang kemudian menerkamnya hingga rebah.

Warga emas dari Kampung Gong Balai, Marang, itu berkata beruang berkenaan menggonggong leher dan kepalanya dan menyeretnya ke dalam hutan berhampiran.


Katanya, gigitan taring beruang yang panjang pada leher serta kepalanya menyebabkan dia tidak dapat bergerak dan hanya mampu menjerit serta mengucap.


Menurutnya, beruang itu menyeretnya sejauh beberapa meter untuk dilarikan ke dalam hutan tidak jauh dari situ.


“Nasib baik suami yang berada tidak jauh dari situ sedar dan bergegas datang sambil memegang sabit. Tindakannya itu berjaya membuatkan haiwan berkenaan melepaskan gigitan pada leher saya.


“Suami membaling sabit ke arah beruang itu untuk menakutkannya sebelum memapah saya keluar dari ladang itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Sementara itu, Mamat berkata tubuhnya masih menggigil mengingatkan kejadian yang nyaris meragut nyawa isterinya.


Menurutnya, dia bersyukur kerana tindakan beraninya menghalang beruang hitam daripada mengheret isterinya ke dalam hutan berjaya dipatahkan sebelum haiwan berkenaan melarikan diri ke dalam hutan.


“Pada mulanya beruang itu enggan melepaskan gigitannya pada leher isteri namun selepas badannya terkena sabit yang dibaling, ia melepaskan gigitannya.


“Beruang itu cuba menerkam semula isteri tetapi saya mengambil dahan pokok getah untuk menakutkannya dan tindakan itu berjaya membuatnya lari ke dalam hutan,” katanya.


Mamat berkata, isterinya berlumuran darah hampir seluruh badan kerana leher, kepala, punggung kiri dan tangan kirinya terkoyak digigit beruang.


Katanya, dia memapah isterinya dan meminta bantuan penduduk kampung untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Merchang, Marang, sebelum dirujuk ke HSNZ.


Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan daripada penduduk kampung dan sudah menghantar anggotanya untuk menyiasat.


“Kita akan memasang beberapa perangkap di kawasan ladang getah berkenaan dan meminta orang ramai yang melihat haiwan mencurigakan supaya segera menghubungi PERHILITAN serta tidak bertindak melulu,” katanya.

Sumber: Harian Metro

4 comments:

  1. Malaysia ada beruang ka....
    Tak caya lah...

    ReplyDelete
  2. Nasib baik suami dia cepat nampak. Kesiannya...

    ReplyDelete
  3. Tangkap beruang tu dan lepaskn dlm hutan simpan atau habitat lain di pulau pulau.

    ReplyDelete