Lelaki bogel terjun jejambat, sempat nyanyi sebaik jatuh

Seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman cedera selepas terjun daripada jejambat setinggi 12 meter berhampiran Kampung Tasek, semalam.

IPOH - Seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak nekad terjun dari sebuah jejambat berhampiran Kampung Tasek, di sini selepas dikejar sekumpulan individu kerana berbogel.

Lelaki berusia 30 tahun itu pada mulanya dilihat baring di laluan berhampiran tanpa seurat benang hingga menyebabkan  orang ramai cuba untuk menangkapnya kerana khuatir berlaku kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, tindakan orang ramai mengejar, menyebabkan lelaki itu lari berbogel  sebelum terjun ke bawah jejambat setinggi 12 meter.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu disedari pemilik  bengkel, Boy yang terkejut apabila melihat seorang lelaki terjun secara tiba-tiba dari jejambat  di hadapan premisnya.

Boy, 34, berkata, lelaki itu cukup dikenali penduduk berhampiran dan sering kelihatan merayau di kawasan tersebut. “Saya pun terkejut sebenarnya, lagipun dia bogel ketika itu.

Dia bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius. “Sebaik jatuh, dia tak nampak macam orang sakit pun, malah sempat nyanyi lagu ‘hidup ini saya yang punya’, seolah  sedang bergembira,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Boy berkata, mangsa ketika itu hanya mengalami cedera di kepala dan terdapat kesan darah di bahagian itu.

“Mungkin juga kakinya patah, sebab nampak dia tak boleh jalan,” katanya yang memberitahu kejadian itu adalah pertama berlaku sejak bengkel membaiki lori miliknya dibuka  15 tahun lalu.

Difahamkan, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang  Keong berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 6  petang semalam.

Menurutnya, siasatan awal  mendapati lelaki terbabit dipercayai kurang siuman bertindak terjun daripada jejambat yang terletak berhampiran landasan kereta api di Kampung Tasek, di sini.

“Beberapa peronda polis dan anggota trafik dikejarkan di tempat kejadian untuk mengawal keadaan lalu lintas. “Lelaki terbabit telah dibawa ke HRPB untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment