Rumah unik, terletak atas garis sempadan Malaysia dan Indonesia

KELUARGA Anuar tinggal di Kampung Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik.

Tawau: “Setiap hari kami sekeluarga makan di Malaysia dan tidur di Indonesia.” Itulah keistimewaan keluarga Anuar Patagang apabila rumah warisan keluarganya di Kampung Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik, dekat sini, terletak di atas garis sempadan kedua-dua negara.

Anuar, 60, berkata, keunikan rumah miliknya itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian ruang tamu di sebelah Indonesia manakala dapur di Malaysia.

“Saya sudah mendiami rumah ini sejak kecil lagi selepas nenek moyang saya membuka tanah ini sebagai kawasan penempatan sebelum diisytiharkan sebagai lokasi sempadan negara.

“Sehingga kini, saya dan keluarga masih mendiami rumah ini dan secara tidak langsung menjadi ‘pengawal’ sempadan di pulau ini,” katanya.


Anuar berkata, ketika kerajaan melakukan proses persempadanan, jelas rumah mereka terbahagi kepada dua negara apabila batu tanda sempadan Malaysia diletakkan di hadapan rumah.


“Tiada apa yang dapat saya lakukan untuk rumah ini kerana ia rumah warisan selain menjadi kediaman kami sejak dulu lagi.

“Malah, semua 11 anak saya dilahir dan dibesarkan di rumah ini,” katanya.
Anuar berkata, walaupun separuh rumahnya berada di negara jiran, dia dan semua anaknya adalah rakyat Malaysia.

“Saya warga tempatan manakala isteri Hasnah Baba, 43, yang dikahwini sejak 30 tahun lalu berasal dari Indonesia.

“Isteri saya berasal dari kampung sama cuma rumahnya berada di Indonesia,” katanya.

Menurut Anuar, disebabkan masih belum menukar kerakyatan, isterinya terpaksa menggunakan pasport sekiranya mahu keluar ke bandar Tawau.

Harian Metro

1 comment:

  1. Kelakarlah juga tapi yg best boleh keluar-masuk tak payah guna passport:)

    ReplyDelete