Penyamun sopan, beri salam dan ucap terima kasih selepas menyamun

Imej suspek yang sempat dirakamkan CCTV sewaktu mengambil wang di dalam laci meja hadapan kedai terbabit.

SABAK BERNAM - Seorang daripada lima penyamun berlagak sopan apabila memberi salam dan mengucapkan terima kasih selepas merompak wang tunai RM1,400 di sebuah kedai perkakasan di Batu 37 Jalan Sekendi di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Farah Ayu Jumri, 27, yang tinggal keseorangan di kedai itu melihat sebuah kereta dipercayai Proton Saga BLM berwarna ungu diletakkan di hadapan kedai terbabit.

Farah Ayu berkata, dia yang tidak mengesyaki sesuatu kemudiannya didatangi seorang lelaki lingkungan 20-an bertopi sempat memberi salam dari luar kedai dan kemudiannya menuju semula ke kereta dengan mengajak dua lagi rakannya yang lain.

“Tiga daripada suspek yang keluar daripada kenderaan terus masuk ke dalam kedai. Salah seorang daripada mereka pura-pura tanya nak nak beli gergaji dan saya pun tunjukkanlah] barang tu ada di luar kedai.

“Selepas saya ambil gergaji dan masuk semula dalam kedai, seorang daripada mereka yang bawa beg sandang pura-pura nak bayar. Tapi, saya terkejut apabila seorang daripada mereka yang ikut saya dari belakang terus acukan parang,” katanya.

Menurut Farah Ayu, ketiga-tiga suspek lelaki itu kemudiannya mengugutnya supaya mendiamkan diri sebelum ikat kedua-dua tangannya dengan tali sambil seorang lagi terus mengacukan parang ke arah mangsa.

“Mereka ugut saya supaya beritahu di mana wang diletakkan dan kemudian buka laci. Mereka juga rampas telefon bimbit jenis Samsung milik saya di laci atas. Ketiga-tiga mereka buka laci dan ambil duit tu.

Salah seorang dari mereka juga sempat ucapkan terima kasih sebelum tergesa-gesa tinggalkan kedai,” katanya sambil memberitahu dalam keadaan panik dia sempat memerhatikan gelagat dua lagi suspek yang menunggu di luar kedai untuk meninjau keadaan persekitaran sementara seorang lagi berada di dalam kereta sebagai pemandu.

“Kejadian berlaku dalam tempoh lima minit. Lepas mereka pergi, terus jerit minta tolong pekerja stor belakang untuk buka ikatan dan telefon majikan,” katanya.

Majikannya, Kenny Tee, 47, berkata, ketika kejadian, dia tiada di kedai kerana ada urusan di bank dan hanya dihubungi keraninya itu ketika dalam perjalanan ke Sekinchan.

“Saya terus patah balik ke kedai. Hasil Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV), saya nampak lima suspek melakukan jenayah itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, polis menerima aduan daripada kerani terbabit berhubung kejadian itu pada jam 9 malam hari yang sama.

“Semua suspek dianggarkan berumur lingkungan awal 20-an dan tidak memakai topeng semasa kejadian. Lakaran fotofit suspek sudah dibuat,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun berkumpulan menggunakan senjata.

Sumber: Sinar Harian

1 comment: