Mira Fana gadis heavy metal

 
Jika kebanyakan gadis seusianya lebih meminati Katy Perry, Taylor Swift atau One Direction, tetapi Mira Fana, 21, nyata berbeza kerana lebih meminati muzik heavy metal dan speed metal daripada Led Zeppelin, Metallica, Megadeth, Iron Maiden dan Loudness.

Paling menarik, Mira adalah pemain gitar dan dia lebih selesa memainkan muzik sedemikian. Jarang sekali pemain gitar wanita di negara ini memainkan muzik berat dan Mira mungkin satu-satunya dalam kala­ngan mereka.

Mula bermain gitar sejak berusia 10 tahun, pemilik nama Amirah Farhanah Daud ini juga adalah bekas pemain gitar kumpulan Velvet. Disebabkan tidak serasi dengan genre muzik Velvet yang lebih ke arah pop rock, Mira nekad meninggalkan kumpulan itu dan bergerak secara solo.

Mira ketika ditemui berkata, minatnya terhadap gitar bermula apabila dia iri hati melihat abangnya, Amir Faisal, 25, handal bermain gitar.


“Saya memintanya mengajar saya bermain gitar. Mungkin kerana minat, saya cepat belajar dan seterusnya belajar sendiri menerusi buku, Internet selain rajin berlatih,” katanya.


Mira juga mendapat sokongan daripada bapanya, Daud Ahmad, 49, yang juga seorang peminat muzik rock.

“Sejak kecil saya sudah didedahkan dengan muzik rock daripada Led Zeppelin, Black Sabbath, Iron Maiden, Loudness dan banyak lagi. Hampir setiap hari bapa memasang lagu-lagu mereka di rumah. Lama kelamaan saya pun turut meminati mereka,” katanya.

Mira berkata, dia amat meminati pemain gitar Whitesnake, Doug Aldrich, Kirk Hammett (Metallica), Jimi Hendrix dan Gary Moore manakala pemain gitar tempatan yang diminatinya ialah Man Kidal dan Allahyarham Samad.

Populariti pelajar jurusan grafik di Universiti Multimedia (MMU) sebagai pemain gitar mula ber­kembang selepas dia memuat naik video permainan gitarnya di YouTube. Sejak itu, Mira semakin dikenali dan mendapat banyak perhatian serta sokongan peminat bukan saja dari Malaysia, tetapi luar negara.

Hampir setiap video yang dimuat naik mencatat tontonan lebih 15,000 pelayar Internet, lebih-lebih lagi dia adalah pemain gitar wanita dari Malaysia yang jarang orang luar dapat menonton aksinya.

Mira yang hebat memainkan riff dan solo gitar lagu-lagu seperti Wasted Years daripada Iron Maiden, Tornado of Soul (Megadeth), Two Minutes To Midnight (Iron Maiden) dan Crazy Doctor (Loudness) dalam videonya di YouTube mengundang banyak pujian dalam komen-komen dari seluruh dunia di laman sosial itu.

Dalam pada itu, Mira turut diundang mengiringi persembahan Awie pada Konsert Teaterikal Suara Kita di Istana Budaya yang bermula Isnin lalu hingga Ahad ini.

Dalam konsert itu, Mira yang menggunakan gitar Epiphone Les Paul menunjukkan kehebatan­nya memainkan lagu Wings iaitu Bujang Senang mengiringi per­sembahan Awie bersama se­orang lagi pemain gitar terkenal, Edrie Hashim.

Selain itu, Mira turut membuat persembahan solo membawakan lagu instrumental ciptaannya berjudul Metal Instrumental.

Mira berkata, dia cukup teruja apabila dihubungi pihak pengurusan Awie untuk hadir ke uji bakat atas permintaan penyanyi itu sendiri selepas menonton video persembahannya di laman YouTube.

“Ia seperti mimpi menjadi kenyataan akan bermain gitar mengiringi nyanyian Awie yang memang kita ketahui antara legenda dalam muzik rock tempatan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment