Api misteri cetus tanda tanya, bakar rumah 3 hari berturut-turut

Keadaan rumah adik ipar mangsa yang hangus terbakar.

BATU KURAU – Kebakaran misteri tiga hari berturut-turut meresahkan pemilik sebuah rumah di Kampung Pondok Quin, di sini.

Gelisah dan bimbang keadaan misteri itu, pemilik rumah, Rosnah Muhammad Nasir, 63, berkata, dia kini buntu apabila memikirkan punca kejadian api misteri yang telah membakar rumah miliknya sebelum membakar keseluruhan rumah adik iparnya yang terletak bersebelahan rumahnya.

Menurut Rosnah, dalam kejadian pertama, pada Isnin lalu, sekitar jam 9 malam dia menerima panggilan dari jirannya yang memaklumkan bahagian dapur rumahnya terbakar, namun berjaya dipadamkan dengan tindakan pantas pihak Bomba dan

Penyelamat Kamunting yang tiba setelah dimaklumkan jiran.

“Sewaktu kejadian, saya berada di rumah salah seorang ahli keluarga di pekan Taiping kerana melawat anak saudara yang baru bersalin.

“Apabila menerima panggilan telefon, saya bergegas pulang menyelamatkan barangan rumah dan  bersyukur kebakaran berjaya dikawal bomba.

“Malah, disebabkan kebakaran itu, saya bertungkus-lumus membersihkan rumah, namun pada keesokan harinya, sekitar jam 1.30 petang, sekali lagi rumah saya terbakar dan kali ini berlaku di bahagian bilik tidur utama dan sekali lagi berjaya dipadam dengan bantuan jiran dan bomba,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Rosnah berkata, pada hari sama sekitar jam 5.30 petang, rumahnya sekali lagi terbakar namun kali ini berlaku pada bahagian hadapan rumah namun berjaya dipadamkan.

“Apabila kebakaran itu berlaku selama tiga kali berturut-turut, saya begitu musykil dan kehairanan, bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku.

Dalam pada itu, Rosnah berkata, kebakaran rumah adik iparnya berlaku sekitar jam 8.40 malam kelmarin dan ketika itu dia sedang membersihkan rumahnya.

“Saya amat terkejut apabila tiba-tiba melihat api marak dan sekali gus segera menjerit meminta pertolongan dan salah seorang jiran berhampiran, Ismail Mat Ali, 53, segera pergi ke Balai Polis Batu Kurau untuk meminta bantuan bagi menghubungi pihak bomba,” katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Dollah Samino, ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan memaklumkan bahawa  semasa pasukan bomba sampai di tempat kejadian rumah berkenaan telah musnah 100 peratus.

“Operasi mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk memadam keseluruhan kebakaran dan sehingga kini punca kejadian masih dalam siasatan.

“Selain itu, dalam kejadian terbabit,  tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dollah berkata, pihaknya melalui jabatan forensik sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua kes yang berlaku termasuk kejadian pada 3 dan 4 Mac lalu sehingga kini masih dalam siasatan.

Sumber: Sinar Harian

3 comments:

  1. anak main mancis ni. Tak mengaku. Mak pulak tak nak salahkan anak. Lebih suka anggap misteri

    ReplyDelete