Pencuri melatah lipas masuk dalam seluar

BAJA disorok bawah lantai kayu lori.

Segamat: Kerja jahat sekumpulan lima lelaki yang disyaki mencuri 25 kampit baja milik Felcra Berhad di ladang sawit di Tebing Tinggi, di sini, kelmarin, terbongkar gara-gara seekor lipas.

Seorang daripada lelaki berkenaan dikatakan tiba-tiba melatah selepas lipas masuk ke dalam seluar pendeknya ketika berhenti untuk pemeriksaan oleh pengawal keselamatan ladang terbabit.


Pengawal keselamatan, Aziz Budin, 42, berkata, dalam kejadian jam 11.30 pagi, dia menahan lori yang dipandu lelaki berusia 30-an ketika keluar dari ladang sawit terbabit untuk pemeriksaan.

Katanya, ketika memeriksa bahagian muatan di belakang lori berwarna merah berkenaan, dia mendapati ada empat lelaki lain yang dipercayai berusia 20 hingga 30-an.


“Pemandu memberitahu lori berkenaan tidak membawa apa-apa muatan, tetapi apabila memeriksa bahagian belakang, saya nampak ada empat lelaki duduk di atas lantai kayu kenderaan itu.


“Apabila ditanya kenapa mereka duduk di atas lantai, seorang daripada mereka menjawab bagi mengelak serpihan kayu lantai lori yang reput itu berterbangan dan boleh membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Aziz berkata, ketika ditanya tujuan mereka memasuki kawasan ladang sawit berkenaan, seorang daripada lelaki terbabit memberikan jawapan yang mencurigakan iaitu sekadar untuk makan angin.


Katanya, mengesyaki sesuatu yang mencurigakan, Aziz meninjau bahagian belakang lori berkenaan sebelum seorang daripada lelaki terbabit tiba-tiba melatah apabila lipas masuk ke dalam seluarnya.

Aziz berkata, selepas membuang lipas dari dalam seluarnya, lelaki berkenaan secara spontan mengambil sekeping papan lantai lori berkenaan untuk membunuh serangga itu.


“Ketika itu saya nampak ada sesuatu di bawah lantai lori dan mengarahkan semua lelaki terbabit turun sebelum mendapatkan bantuan daripada rakan setugas untuk membuat pemeriksaan lanjut,” katanya.


Menurutnya, hasil pemeriksaan dijalankan, pihaknya mendapati ada 25 kampit baja 50 kilogram setiap satu di bahagian bawah lantai lori berkenaan yang bernilai RM2,500.


Katanya, semua lima lelaki tempatan itu ditahan sebelum dia memaklumkan perkara itu kepada pengurusan FELCRA Berhad dan seterusnya menyerahkan suspek kepada polis untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi ketika dihubungi mengesahkan semua lima lelaki terbabit kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 kerana mencuri.

Sumber: Harian Metro

1 comment: