Raja Ema cemas diacu pistol ketika sedang memandu

 
Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Raja Ema Raja Ibrahim berdepan detik cemas apabila diacukan pistol dua kali oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang memandu di Shah Alam, Rabu lalu.

Menerusi kenyataan Raja Ema yang dikongsikan pada akaun Instagram, dia mengakui bimbang dengan keselamatan dirinya dan dua anaknya Putera Ammar, 20, dan Putera Alkashah, 18, apabila diacukan pistol secara tiba-tiba.


Bagaimanapun, aktres itu mengesahkan tiada kecederaan dialami berikutan ancaman yang mengejutkan itu.

“Tak ada apa-apa kejadian tidak diingini. Lelaki itu hon dan pintas kereta sambil acu pistol.


“Di kawasan lampu isyarat ketika lampu merah dia acu lagi. Sudahlah anak-anak ada dalam kereta,” katanya.


Difahamkan, insiden mengejutkan itu berlaku ketika Raja Ema, 46, memandu keretanya bersama Putera Ammar dan Putera Alkashah pada sekitar jam 2.30 petang di pusat bandar itu selepas selesai berurusan di Jabatan Pelajaran Negeri Selangor.

Secara tiba-tiba, seorang lelaki yang memandu bersendirian PERODUA Kenari menghampiri keretanya dan membunyikan hon dipercayai tidak berpuas hati dengan pemanduan Raja Ema yang perlahan.


Bagaimanapun, penyanyi lagu Jejaka Idaman itu tidak mempedulikan bunyi hon itu dan meneruskan pemanduan seperti biasa.

Akibatnya, kereta itu memintas keretanya sebelum lelaki terbabit mengeluarkan sepucuk pistol dan mengacukan ke arah aktres terbabit.


Raja Ema mengabaikan ancaman itu dan memandu keretanya sehingga ke lampu isyarat sebelum lelaki terbabit sekali lagi mengacukan pistol ke arahnya.


Raja Ema yang ketakutan dengan tindakan lelaki itu meneruskan pemanduan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya dan membuat laporan kerana bimbang dengan keselamatannya dan keluarga.


Sementara itu, jurucakap Polis daerah Shah Alam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment