Dadah Jenis Baharu Mungkin Punca Kematian Remaja Di Konsert FMFA

 
KUALA LUMPUR: Dadah jenis baharu untuk berpesta yang masih tidak menyalahi undang-undang negara mungkin menjadi sebab kematian enam remaja di konsert Future Music Festival Asia 2014 (FMFA) baru-baru ini.

Dr Mahmud Mazlan, yang mengendalikan 10 klinik pakar dalam rawatan penyalahgunaan dadah berkata beliau berpendapat kematian bukan berpunca daripada pengambilan dadah berlebihan seperti yang dilaporkan secara meluas.

Ia lebih cenderung disebabkan oleh mephedrone, sejenis dadah yang digunakan di Barat sejak kebelakangan ini, yang dikesan telah memasuki Jakarta sejak tahun lepas, katanya.

Dr Mahmud berkata pesakitnya juga telah mengesahkan kepadanya bahawa dadah tersebut dilaporkan telah menyebabkan beberapa kematian di Barat, telah memasuki sempadan Malaysia dan sedang dipasarkan secara bebas dalam talian.

Satu carian dalam talian mendapati beberapa iklan berpangkalan di Kuala Lumpur menjual bahan tersebut.

Peniaga dan pengguna juga dipercayai aktif mempromosikannya melalui media sosial.

Difahamkan, dadah jenis mephedrone dan Eramin-5 telah mengatasi ekstasi sebagai dua dadah yang paling popular kerana mempunyai kesan yang lebih kuat.

"Lebih dari 10 negara telah mengharamkan dadah jenis ini kerana ia menyebabkan kematian. Apa yang berlaku di konsert itu kelihatan serupa dengan kematian yang dilaporkan di Barat yang dikaitkan dengan mephedrone," katanya.

Mephedrone masih sah dalam undang-undang di Malaysia kerana ia tidak diwartakan di bawah Akta Dadah Berbahaya walaupun sebilangan kematian telah dilaporkan di luar negara.

"Ujian air kencing dan darah pada masa ini yang digunakan oleh pihak berkuasa tidak dapat mengesan prekursor mephedrone. Jadi, pihak berkuasa cenderung untuk menyatakan methamphetamine menjadi punca.

"Mephedrone dan beberapa dadah berjenama lain juga tidak dapat dikesan dalam ujian air kencing jika diambil dengan ganja sintetik," kata Dr Mahmud.

Pada 14 Mac, enam maut selepas mengambil dadah semasa konsert FMFA .

Turut dilaporkan, kematian mungkin disebabkan oleh salah satu daripada dadah maut jenis baru yang 'diimport' yang salah satu daripadanya ialah Tab yang hanya mengambil masa 10 minit untuk bertindakbalas terhadap sistem utama seseorang.

Dr Mahmud berkata sumbernya juga mengesahkan ujian darah tidak menunjukkan dos dadah yang tinggi.

"Setiap orang bertindak balas secara berbeza terhadap mephedrone . Kebanyakan pengguna akan mengalami kesan-kesan normal tetapi bergantung kepada kecenderungan mereka, kematian segera boleh berlaku. Pengguna boleh pengsan dan mati walaupun dengan dos yang rendah.

"Mereka boleh jadi orang baru mengambil dadah buat kali pertama," kata beliau sambil menambah kebanyakan kematian berlaku apabila mephedrone diambil dengan sama ada ketamin, ganja atau alkohol.

"Satu perempat daripada kematian berlaku di tempat kejadian manakala selebihnya berlaku selepas mereka meninggalkan parti. Dalam kes di Britain, pengguna meninggal dunia 12 jam kemudian," katanya.

Nama-nama jalanan untuk mephedrone termasuklah MMCAT, Meow Meow, 4MMC , makanan tumbuhan, manakala laman web menjualnya di Kuala Lumpur memanggilnya sebagai Bath Salt atau Fertiliser.

Ia memberikan kesan hampir sama seperti pengambilan kokain.

Lebih mudah dan lebih murah berbanding methamphetamine, ia boleh datang dalam bentuk kapsul atau serbuk. Sehingga akhir tahun lepas, ia telah dijual pada kira-kira RM75 untuk 20gm.

Sumber: mstar.com.my

1 comment: