Model seksi jadi calon pilihan raya Indonesia

 Destiara Talita

Jakarta: Parti politik cuba meraih seberapa banyak undi yang mungkin sepanjang kempen terbuka menjelang pilihan raya Parlimen 9 April depan, termasuk meletakkan calon di kalangan selebriti.

Dalam langkah yang dilihat semakin menjadi-jadi, beberapa parti politik bukan setakat meletakkan selebriti biasa, malah model seksi.

Pencalonan mereka menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ada yang menyambut baik dan ada yang mengecam.

Antara model yang dicalonkan ialah Destiara Talita, 26, bekas model majalah dewasa yang bertanding atas tiket Parti Keadilan dan Persatuan Indonesia (PKPI) yang akan bertanding di daerah Jawa Barat VIII, kawasan pilihan raya terdiri daripada Cirebon dan Indramayu.

Selain Destiara, lulusan undang-undang dari Universiti Indonusa Esa Unggul, seorang lagi calon PKPI ialah penyanyi dangdut Camel Petir.


Destiara bukan satu-satunya calon yang mempunyai karier kontroversi. Angel Lelga, aktres filem berahi dan model pakaian renang pula akan bertanding atas tiket parti Islam, Parti Persatuan Pembangunan (PPP).

Pengerusi PPP Suryadharma Ali berkata, Angel menyertai PPP kerana mahu melengkapkan pemahamannya terhadap Islam dan bersekutu dengan penganut agama itu.

Dia bagaimanapun dikritik kerana menjawab dalam keadaan tergagap-gagap terhadap soalan yang diajukan dalam rancangan sembang sebuah stesen televisyen swasta.

Penyertaan selebriti menarik pelbagai reaksi daripada orang awam, ada yang mengalu-alukan pembabitan mereka, dan ada yang menolaknya sama sekali.

Peguam Fisella Mutiara berkata, selagi calon tidak bersandar semata-mata dengan imej seksi mereka untuk memenangi kerusi, dia tidak akan mempersoalkan pencalonan mereka.

Sementara itu, juruelektrik Temor berkata, meskipun dia dapat menerima calon selebriti, dia tidak akan mengundi mereka yang pernah menjadi model seksi.

Bekas aktres dan anggota Dewan dari Parti Demokrat Venna Melinda berkata, sudah menjadi kebiasaan bagi orang ramai mempersoalkan kempen politik golongan selebriti.- Agensi

Harian Metro

No comments:

Post a Comment