Pisau tembeling manusia zaman Neolitik dijumpai di Sungai Kelantan

RUZAIRY menunjukkan sebilah pisau tembeling yang ditemui di tebing Sungai Kelantan, Pasir Mas, Kelantan kelmarin.

PASIR MAS – Sungai Kelantan di sini dikenal pasti sebagai salah satu lagi lokasi manusia prasejarah zaman Neolitik apabila sebilah pisau tembeling ditemui di tebing sungai berkenaan berhampiran Kampung Kubang Pak Amin di sini kelmarin.

Ketua Pegawai Arkeologi Jabatan Warisan Negara Wilayah Timur, Ruzairy Arbi berkata, sebelum ini pisau jenis serupa pernah dijumpai oleh pengkaji Inggeris, I.H.N. Evans di sekitar Sungai Tembeling, Pahang pada tahun 1930-an.

Beritahu Ruzairy, alatan batu itu ditemui di situ selepas beberapa pengkaji dari Jabatan Warisan Negara melakukan cari gali di kawasan tersebut kelmarin.

“Dengan penemuan sebilah pisau tembeling itu, kami tidak menolak kemungkinan kawasan tersebut pernah diduduki oleh manusia di zaman Neolitik.

“Kajian mengenai masyarakat awal manusia di negara ini menjadi bertambah menarik. Justeru, pihak kami akan meneruskan kerja-kerja cari gali di kawasan sekitar termasuk di permukaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Ujar beliau lagi, Jabatan Warisan Negara juga akan melakukan kajian lanjut untuk mengetahui nilai sejarah pisau tembeling itu yang merupakan salah satu teknologi alatan batu yang dihasilkan oleh masyarakat Neolitik.

Selain pisau tembeling, Ruzairy berkata, sepanjang seminggu menjalankan kajian di kawasan berkenaan, pihaknya turut menemui pelbagai artifak bersejarah lain seperti seramik, duit syiling termasuk serpihan tembikar yang dipercayai berasal dari zaman Dinasti Chin, China.

Sumber: Kosmo!

3 comments: