Buku kulit manusia

 
Pakar di Universiti Harvard mengesahkan satu naskhah buku dari kurun ke-19 yang tersimpan di perpustakaan pusat pengajian elit itu menggunakan kulit manusia sebagai kemasan akhirnya.

Saintis menjalankan siri ujian ke atas buku karya penulis Perancis, Arsene Houssaye berjudul ‘Des destinees de l’ame’ yang tersimpan di perpustakaan Houghton.

Mereka sangat yakin bahawa bahan yang digunakan untuk kulit buku itu diperbuat daripada kulit manusia.

Menurut jurucakap perpustakaan berkenaan, Houssaye menyerahkan buku dianggap ‘meditasi jiwa dan kehidupan selepas mati’ kepada seorang rakannya yang bertugas sebagai doktor pada pertengahan 1880-an.

Dr Ludovic Bouland yang menerima naskhah itu menjilid buku berkenaan dengan kulit mayat seorang wanita pesakit mental yang tidak dituntut.

Bouland juga meninggalkan sekeping nota di dalam buku itu yang bertulis: “A book about the human soul deserved to have a human covering” (Buku mengenai jiwa manusia layak dibalut manusia).

Walaupun penjilidan buku menggunakan kulit manusia menakutkan pada zaman kini, jurucakap itu berkata, ia bukanlah sesuatu yang baru.

“Dinamakan sebagai anthropodermic bibliopegy, penjilidan buku menggunakan kulit manusia bermula sejak abad ke-16.

“Buku yang memuatkan pengakuan penjenayah juga kadang-kala dijilid menggunakan kulit penjenayah terbabit.

“Begitu juga individu yang mahu diabadikan dalam bentuk buku bagi keluarga atau kekasih mereka,” katanya.

Nota Bouland turut merujuk buku lain dalam koleksinya, De integritatis dan ‘Corruptionis virginum notis’ karya Séverin Pineau turut menggunakan kulit manusia.

Kulit yang digunakan pada buku abad ke-17 itu kini berada dalam koleksi Perpustakaan Wellcome di London.

Laporan akhbar universiti itu pada 2006 menyatakan, sekurang-kurangnya ada tiga naskhah buku di universiti berkenaan menggunakan kulit manusia.

Namun, Perpustakaan Houghton menyatakan, ujian ke atas dua lagi naskhah di Perpustakaan Fakulti Perundangan Harvard dan Perpustakaan Fakulti Perubatan Countway menunjukkan ia sebenarnya adalah kulit kambing.

Sumber

2 comments:

  1. assalamualaikum
    singgah pagi
    lama rasanya anum x blog walking
    hari ini ada peluang anum singgah ya
    keep in touch

    ReplyDelete
  2. biar betul kulit manusia..kulit siapa la yang jadi mangsa tu..

    ReplyDelete