Mohd Zain dengan sebahagian kundur yang tumbuh di tepi rumahnya.
PADANG BESAR - Seorang penoreh getah terkejut apabila buah kundur yang tumbuh di tepi rumahnya bersaiz gergasi menyamai saiz kanak-kanak berusia dua tahun.
Mohd Zain Mat Isa, 64, berkata, dia mula menyedari pokok kundur itu tumbuh sejak awal tahun ini namun tidak menyangka saiznya membesar seperti itu namun dia tidak pernah menimbang berat dan mengukur saiz buah berkenaan.
“Apabila saya tengok ada pokok kundur tumbuh saya pun memacak buluh dan kayu supaya pokok ini dapat menjalar, tetapi saya tak sangka bila hujan mula turun pada hujung Mac baru-baru ini, buah ini semakin membesar.
“Kini umur buah kundur ini sudah hampir lima bulan dan semuanya bersaiz besar, sebiji kundur ini saya dah beri kepada seorang rakan manakala empat biji lagi saya berhajat untuk berikan kepada jiran saya untuk majlis kenduri kahwin anaknya tidak lama lagi,” kata Mohd Zain ketika ditemui di rumahnya di Felda Mata Ayer di sini, semalam.
Menurutnya, kundur itu kini menjadi perhatian orang ramai terutamanya pada musim cuti sekolah.
“Ramai yang datang tengok semasa cuti sekolah ini malah ada orang dari luar seperti dari Kuala Lumpur dan Pahang yang datang ke sini untuk makan kenduri turut singgah melihat dan bergambar dengan kundur ini.
“Saya tak pasti bagaimana pokok ini boleh tumbuh, semasa kenduri anak saya tahun lepas ada hidangan gulai kundur, mungkin orang yang menyediakan gulai kundur ini membuang biji kundur ke atas tanah bersebelahan rumah ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pertanian Perlis Zulkifli Amin Yusuf ketika dihubungi berkata kundur gergasi tersebut juga dikenali sebagai beligu ataupun nama saintifiknya Benincasa Hispida yang berasal dari Asia Tenggara.
Katanya buah kundur dari jenis tersebut boleh mencapai berat sehingga 20 kilogram (kg) namun mengikut lokasi seperti kawasan iklim Mediterranian di Israel, kundur itu boleh mencecah sehingga 50kg.
Sumber
No comments:
Post a Comment